Tingkatkan penyelenggaraan Lebuhraya Pan Borneo, elak risiko kemalangan
- Suara Keadilan

- 17 minutes ago
- 2 min read

Pihak berkuasa lebuhraya digesa meningkatkan tahap penyelenggaraan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak susulan beberapa isu keselamatan yang dikenal pasti berpotensi mengundang kemalangan dan berbahaya.
Pengerusi Biro Kebajikan KEADILAN Sarawak, Bruce Yee Chin Kui berkata, beliau mengesan pelbagai masalah ketika memandu dari Sarikei ke Miri baru-baru ini.
"Sepanjang perjalanan tersebut, saya mendapati terdapat beberapa isu keselamatan dan penyelenggaraan yang memerlukan perhatian segera pihak berkuasa berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara isu utama adalah takungan air di permukaan jalan ketika hujan lebat yang boleh menyebabkan fenomena aquaplaning, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

"Sebagai contoh, kawasan sekitar kilometer 85 laluan Miri–Bintulu dilihat mempunyai risiko yang memerlukan perhatian segera," katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan keadaan permukaan jalan yang tidak rata serta berlubang di beberapa lokasi, yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna, khususnya penunggang motosikal.
Masalah lain termasuk penghadang jalan yang rosak akibat kemalangan atau vandalisme.
Manakala, kata beliau, bahu jalan yang dijadikan kawasan parkir terutama berhampiran sekolah, rumah panjang dan lokasi majlis keramaian juga mengundang masalah.
"Fenomena meletakkan kenderaan di bahu jalan semakin kerap berlaku, terutama berhampiran sekolah, rumah panjang serta lokasi yang mengadakan majlis seperti perkahwinan, kematian atau perayaan.
"Keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna lebuhraya, khususnya pada waktu malam atau di kawasan yang kurang pencahayaan."
Garisan jalan yang semakin pudar di sesetengah lokasi pula, kata Bruce Yee, menyukarkan pemanduan terutama dalam keadaan hujan dan waktu gelap.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Kementerian Kerja Raya Malaysia untuk mempertingkatkan pemantauan serta melaksanakan kerja penyelenggaraan secara lebih proaktif.
"Sebagai projek infrastruktur utama yang menjadi nadi perhubungan rakyat Sarawak, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi," tegasnya.
Beliau turut menekankan agar sebarang kerosakan seperti lubang, takungan air dan kemudahan keselamatan yang rosak dikenal pasti serta dibaiki segera mengikut sasaran yang telah ditetapkan oleh kementerian.
Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati menjelang sambutan Hari Gawai yang bakal tiba.
"Pandu secara berhemah, patuhi had laju, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta utamakan keselamatan diri dan keluarga," katanya.




Comments