Tindakan rejim Zionis biadap, cabul undang-undang antarabangsa - Kaukus Palestin
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa memintas, menahan dan menculik anak kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di perairan antarabangsa awal pagi semalam.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) menyifatkan tindakan rejim itu biadab serta mencabul undang-undang antarabangsa terutama insiden berlaku ketika konvoi kemanusiaan berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Tambahnya, berdasarkan kenyataan Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), sebanyak 57 kapal GSF termasuk tiga kapal pengiring berada kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza ketika kejadian berlaku.
"Tindakan rejim Zionis itu bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah merupakan satu bentuk pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.
"Kaukus Palestin Parlimen Malaysia mendesak Israel menghentikan segera tindakan pencabulan tersebut dan membebaskan semua anak kapal yang ditahan," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu beliau menyeru kerajaan Malaysia mengambil langkah sewajarnya dengan segera bagi memastikan keselamatan semua anak kapal warga Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu.
Dalam masa sama beliau menyeru rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa supaya bersama-sama mengutuk tindakan berkenaan.
GSF menerusi kenyataan dimuat naik menerusi akaun rasmi mereka awal pagi semalam mendakwa dihampiri beberapa bot laju tentera yang memperkenalkan diri sebagai ‘Israel’'
Anggota bersenjata itu didakwa menghalakan pancaran laser serta senjata separa automatik ke arah peserta di atas kapal.




Comments