Mesyuarat MEX KESUMA kukuhkan penyelarasan dasar tenaga kerja Persekutuan-Negeri
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Kementerian Sumber Manusia terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri menerusi Mesyuarat Penyelarasan Menteri Sumber Manusia bersama Exco-Exco Sumber Manusia Negeri (MEX KESUMA) yang berlangsung semalam.
Menterinya, Datuk Seri R Ramanan, memaklumkan mesyuarat tersebut menjadi platform strategik penting dalam menyelaras dasar antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
"Mesyuarat ini bukan sekadar ruang perbincangan, tetapi medan penyelarasan dasar yang memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurutnya, pendekatan bersepadu amat penting dalam memastikan setiap dasar dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi impak tinggi kepada rakyat dalam suasana ekonomi global yang mencabar.
"Dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar, pendekatan bersepadu seperti ini menjadi kunci untuk memastikan setiap dasar yang dirangka dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, menyeluruh dan berimpak tinggi kepada rakyat," katanya.

Beliau menegaskan komitmen kementerian untuk menjaga kebajikan pekerja serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
"Kementerian Sumber Manusia kekal komited untuk memperkukuh kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri, khususnya dalam memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara," katanya.
Dalam mesyuarat itu, tumpuan turut diberikan kepada kesiapsiagaan tenaga kerja, khususnya dalam penguasaan kemahiran baharu berteknologi tinggi.
"Saya menegaskan keperluan untuk mempertingkat kesiapsiagaan tenaga kerja negara melalui penguasaan kemahiran baharu dan berteknologi tinggi, terutamanya dalam sektor strategik seperti semikonduktor."
Selain itu, empat fokus utama turut diketengahkan termasuk pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025, reformasi perundangan, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pengenalan skim perlindungan sosial baharu.
"Empat fokus utama termasuk pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025, pemerkasaan TVET yang kini mencatat kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.5%, serta pengenalan Skim Lindung 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan dasar bergantung kepada sokongan Kerajaan Negeri agar manfaatnya dapat dirasai hingga ke peringkat akar umbi.




Comments