Kapal flotilla dirosakkan, 175 aktivis termasuk rakyat Malaysia ditahan - SNCC
- Redzuan Shamsudin
- 1 hour ago
- 2 min read

Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan bahawa sebuah kapal dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0, Tam Tam, tidak dipintas namun telah dirosakkan oleh pihak rejim Israel ketika menghampiri perairan Greece, semalam.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, setakat jam 7.00 malam waktu Malaysia, aktivis di dalam kapal tersebut dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
"Status kapal Tam Tam adalah tidak dipintas tetapi telah dirosakkan oleh pihak rejim, namun aktivis di dalamnya dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 21 buah kapal telah disahkan dipintas ketika berada kira-kira 80 batu nautika dari perairan Greece.
"Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan kapal yang disahkan dipintas adalah sebanyak 21 kapal ketika kira-kira 80 batu nautika menghampiri perairan Greece," katanya.
Dalam masa sama, kira-kira 30 kapal lain dilaporkan tidak ditahan dan meneruskan pelayaran dengan selamat.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa pemimpin utama misi turut menjadi sasaran tindakan tidak bertamadun rejim Zionis.
"Thiago Avila dan Saif Abukeshek antara Steering Committee Global Sumud Flotilla yang turut dipintas dalam satu
tindakan yang bersifat ugutan serta bertujuan melumpuhkan keseluruhan misi," katanya.
Menurut SNCC, seramai 175 aktivis telah ditahan dan dibawa ke Israel, termasuk 10 rakyat Malaysia.
"Seramai 175 orang aktivis telah diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim, termasuk 10 orang rakyat Malaysia yang turut berada dalam kumpulan tersebut," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang aktivis Malaysia, Ahmad Faezal dilaporkan menarik diri lebih awal akibat masalah kesihatan.
"Ahmad Faezal telah mengalami demam panas dan terpaksa menarik diri di Pelabuhan Sicily, Itali dan telah selamat tiba di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah dihubungi oleh pihak SNCC dan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha membawa keluar rakyat Malaysia yang terlibat.
"Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau akan berusaha berhubung dengan rakan sejawatan dari negara Eropah, Turkiye dan negara serantau bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin serta mengusahakan pembebasan mereka secepat mungkin," katanya lagi.
