Tindakan ganas di Kampung Sungai Baru bukan cerminan kehendak penduduk
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Tindakan ganas yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika operasi pengosongan di Kampung Sungai Baru semalam dikecam keras.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Muhammad Shafi (gambar) menegaskan insiden itu sama sekali tidak mencerminkan kehendak majoriti penduduk kampung yang mahu isu pampasan dan penempatan semula diselesaikan secara damai.
Beliau percaya kekecohan tersebut didalangi penghasut politik yang mengambil kesempatan meniupkan api kebencian dalam kalangan orang ramai.
"Serangan ini satu perbuatan melampau dan tidak bertamadun. Hak berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan, tetapi apabila ada yang cuba menghasut yang akhirnya menjerumus kepada keganasan.
"Tugas polis hanya menjalankan arahan mahkamah dan tidak wajar dijadikan sasaran. Jangan kerana segelintir pihak yang mahu mengaut keuntungan politik, akhirnya penduduk yang menanggung akibatnya," katanya.
Kekecohan tercetus apabila sekumpulan kecil cuba merempuh kawalan polis untuk masuk ke kawasan operasi. Sulizmie cedera di kepala selepas dipercayai dibaling batu oleh individu tidak dikenali ketika cuba mengawal keadaan.
Saifuddin sementara itu berkata, perbezaan pandangan mengenai pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan keganasan.
Beliau menegaskan, penduduk berhak bersuara, namun tidak seharusnya terperangkap dalam permainan politik pihak tertentu. Orang ramai juga diingatkan supaya tidak termakan naratif mengelirukan di media sosial yang sengaja disebarkan bagi membangkitkan kemarahan terhadap pihak berkuasa.
"Cukuplah merosakkan keamanan negara, kita tidak mahu budaya ganas menggantikan perbincangan dan rundingan. Negara kita dibina atas undang-undang, bukan emosi," tambahnya.









Comments