top of page

Timor-Leste penghubung baharu ASEAN dengan dunia pasifik - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 24
  • 2 min read

PM Anwar menyampaikan Syarahan Presiden di Dili, Timor Leste
PM Anwar menyampaikan Syarahan Presiden di Dili, Timor Leste

Oleh: Helmi Foad


Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN bulan depan diyakini bakal membuka laluan baharu bagi blok serantau itu memperkukuh kerjasama dengan negara pulau Pasifik serta komuniti berbahasa Portugis.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedudukan strategik Timor-Leste mampu memberi dimensi baharu kepada ASEAN selain mengukuhkan suara rantau ini di pentas antarabangsa.


"ASEAN dan Forum Kepulauan Pasifik sudah memulakan langkah ke arah kerjasama lebih rapat.


"Saya menantikan peranan aktif Timor-Leste untuk menghubungkan ASEAN dengan rantau penting di Indo-Pasifik ini," katanya ketika menyampaikan Syarahan Presiden di Dili hari ini.


Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara itu turut menegaskan bahawa perpaduan dan sentraliti ASEAN tidak boleh dianggap terjamin, sebaliknya mesti sentiasa diperkukuh bagi memastikan rantau ini terus aman dan makmur.


"ASEAN tidak mampu bersikap lesu atau berdiam diri. Kita berjaya mengatasi cabaran hanya apabila bergerak bersama. Kita berjaya bersama atau tidak sama sekali," tegas beliau.


Perdana Menteri turut menyifatkan keberanian moral Timor-Leste menentang penindasan sebagai teladan kepada negara anggota ASEAN lain khususnya dalam isu kemanusiaan sejagat.


"Jika Timor-Leste kekal berpegang pada prinsip dan nilai pemerintahan berteraskan akauntabiliti tidak ada sebab mengapa negara ini tidak boleh menjadi suara moral ASEAN," katanya.


Beliau menambah, pengalaman negara itu dalam pembinaan keamanan, rekonsiliasi serta komitmen terhadap demokrasi dan akauntabiliti mampu memberi sumbangan besar kepada pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045 yang berhasrat membentuk komuniti inklusif, mampan dan berpaksikan rakyat.


Timor-Leste sebelum ini menunggu lebih sedekad untuk diterima sebagai anggota penuh selepas mengemukakan permohonan rasmi pada 2011.


Beberapa negara anggota ASEAN pada mulanya bimbang mengenai kemampuan institusi dan kesiapsiagaan ekonominya, namun kesabaran serta komitmen kepimpinan negara itu akhirnya membuka jalan kepada kejayaan bersejarah pada 2025.


Pada majlis itu, Anwar menerima Grand Collar of the Order of Timor-Leste, anugerah tertinggi negara berkenaan daripada Presiden José Manuel Ramos-Horta.


Penghormatan sama sebelum ini pernah dikurniakan kepada pemimpin rantau ini seperti bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo serta Presiden Kemboja Hun Sen dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.


"Saya menerima penghormatan ini dengan penuh rendah diri dan kesyukuran bagi pihak rakyat Malaysia," kata Anwar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page