top of page

Tiga undang-undang perkukuh Islam, kehakiman Syariah Selangor

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kedudukan Islam dan institusi kehakiman Syariah di Selangor diperkukuh menerusi kelulusan tiga rang undang-undang yang antara lain menetapkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sebagai pegangan agama Islam di negeri itu serta mewujudkan struktur empat peringkat Mahkamah Syariah.


Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkata, kelulusan tiga rang undang-undang oleh Dewan Negeri Selangor pada 4 hingga 6 Ogos lalu merupakan agenda penting dalam memperkukuh pentadbiran agama Islam dan institusi kehakiman Syariah.


Tiga undang-undang berkenaan ialah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 dan Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026.


Pengerusi MAIS, Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin berkata usaha itu diusulkan MAIS bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.


"Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2026 memperjelaskan bahawa agama Islam di Negeri Selangor adalah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagaimana yang telah lama diamalkan di negeri ini serta memperuntukkan secara khusus mengenai penubuhan Mahkamah Syariah dalam undang-undang tertinggi Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor itu turut disokong Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 yang mengawal selia penubuhan, struktur, bidang kuasa dan pentadbiran Mahkamah Syariah.


Beliau berkata kedua-dua undang-undang itu memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman yang bebas, berwibawa dan diyakini.


Pada masa sama, ia melengkapkan struktur empat peringkat Mahkamah Syariah Selangor dengan Mahkamah Utama Syariah berada pada kedudukan tertinggi diikuti Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah, katanya.


Sementara itu, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 pula menyediakan punca kuasa statutori lebih jelas kepada MAIS untuk melaksanakan beberapa perkhidmatan kepada umat Islam.


Ia termasuk bantuan guaman dan pengantaraan, penulisan wasiat dan hibah serta bantuan dan perkhidmatan lain bagi menyokong kesejahteraan serta pembangunan sosial masyarakat Islam di Selangor.


Pindaan berkenaan turut memberi kuasa lebih jelas kepada MAIS dalam pengurusan dan pembahagian harta pusaka orang Islam, khususnya bagi membantu menyelesaikan isu harta pusaka beku.


Langkah itu juga menyokong pelaksanaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022 selain menyelaraskan tatacara pembuatan fatwa melibatkan isu nasional.


"Usaha MAIS mengusulkan ketiga-tiga undang-undang ini ialah suatu komitmen MAIS dalam memperkasa pentadbiran agama Islam di Negeri Selangor.


"MAIS mengharapkan agar undang-undang ini mampu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Islam, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pentadbiran agama Islam dan sistem kehakiman Syariah di Negeri Selangor," katanya.


Salehuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negeri yang membahaskan rang undang-undang berkenaan secara teliti dan profesional serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah bersama pihak lain yang terbabit dalam penyediaannya.


"MAIS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan ketiga-tiga undang-undang ini berjalan dengan berkesan demi memperkukuhkan pentadbiran agama Islam serta meningkatkan penyampaian keadilan Syariah di Negeri Selangor," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page