Tiga tahun Kerajaan MADANI, gaji meningkat, hasil pertanian jamin pendapatan
- Akmal Manaf

- 44 minutes ago
- 1 min read

Rakyat kini disifatkan mula menarik nafas lega apabila kehidupan harian semakin stabil dan pendapatan bertambah baik hasil pelbagai inisiatif diperkenalkan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) antara 2020 hingga 2022 lalu.
Di media sosial netizen membariskan antara pencapaian Kerajaan MADANI sejak tiga tahun lalu termasuk kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,700, sekali gus memberi kelegaan kepada ramai pekerja yang sebelum ini terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.
Begitu juga langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sehingga 15% serta memastikan kira-kira 169,000 pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima gaji sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan demi meningkatkan taraf hidup mereka.
Selain itu, golongan petani dan penoreh turut menerima manfaat apabila harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 bagi satu tan metrik, manakala insentif pengeluaran getah meningkat daripada RM2.50 kepada RM3 sekilogram.
Langkah tersebut membantu meningkatkan jaminan pendapatan penduduk luar bandar yang bergantung kepada sektor pertanian dan komoditi sebagai sumber rezeki utama keluarga.
Malah, kadar kemiskinan negara juga dilaporkan menurun daripada 6.2% kepada 5.1%, manakala kadar kemiskinan tegar pula semakin berjaya dikurangkan hasil pelbagai dasar kebajikan dan pembangunan ekonomi diperkenalkan kerajaan.
Justeru, rakyat diseru supaya terus mempertahankan kestabilan politik dan ekonomi negara agar lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta bantuan kebajikan dapat terus dinikmati seluruh lapisan masyarakat.




Comments