Tidak perlu mansuhkan BUDI Diesel, petrol, baiki mekanisme agihan


Kerajaan tidak perlu memansuhkan BUDI Diesel dan subsidi petrol bersasar, sebaliknya memperbaiki mekanisme pelaksanaannya terutama bagi memastikan keperluan rakyat Sabah yang banyak bergantung kepada kenderaan diesel diambil kira, kata Zaidi Jatil.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah itu berkata, majoriti rakyat di negeri itu bergantung kepada kenderaan sendiri, termasuk pikap dan kenderaan diesel untuk bekerja, berniaga, mengangkut hasil pertanian serta mencari rezeki.
"Sabah mempunyai keluasan geografi yang besar, jarak perjalanan yang jauh dan jaringan pengangkutan awam yang masih terhad di banyak kawasan.
"Sebab itu perjuangan kita sepatutnya bukan memansuhkan BUDI, tetapi perbaiki BUDI. Jika kuota tidak mencukupi, kita perjuangkan penambahan.
"Jika ada golongan yang tercicir, kita perluaskan kelayakan. Jika mekanismenya menyusahkan rakyat pedalaman, kita permudahkan," katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Zaidi lagi, kerajaan juga telah menunjukkan kesediaan untuk membuat penambahbaikan berdasarkan data penggunaan sebenar.
Kementerian Kewangan (MOF) ujarnya turut menyatakan bahawa mekanisme dan kuota boleh diteliti semula sekiranya terdapat jurang, sebagaimana pelarasan yang pernah dibuat kepada kumpulan tertentu.
"Jangan kita bakar sebuah rumah hanya kerana ada atap yang bocor. Baiki yang kurang, pertahankan yang baik.
"Kita mahu rakyat Sabah terus menikmati subsidi, tetapi pada masa sama, kita mahu ketirisan dihentikan, penyeludupan dibanteras dan setiap ringgit wang negara digunakan sebaik-baiknya untuk kepentingan rakyat.
"Subsidi untuk rakyat yang memerlukan, ketirisan kita hentikan, kewangan negara kita jaga, (manakala) hak dan kepentingan rakyat Sabah kita pertahankan," katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Umno Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan dilapor berkata, pelaksanaan subsidi diesel dan petrol bersasar membebankan rakyat Sabah, khususnya bagi golongan yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki.
Menurutnya, selain keadaan jalan raya yang masih belum sempurna, rakyat Sabah lebih banyak menggunakan kenderaan yang menggunakan diesel dan turut dikenakan kuota subsidi bersasar.
"Alasan pelaksanaan subsidi bersasar adalah untuk membanteras ketirisan minyak. Masalahnya, golongan yang menyeludup minyak atau bukan warganegara itu hanya sebilangan kecil, sedangkan sebahagian besar yang terkesan ialah rakyat Sabah sendiri, khususnya orang biasa.
"Justeru, saya mewakili Umno Sabah dan rakyat Sabah mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem subsidi bersasar ini dihapuskan," katanya.




Comments