top of page

Tidak mustahil figura wanita terajui kempen PRN Johor

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

KEADILAN Johor tidak menolak kemungkinan mengetengahkan seorang figura wanita sebagai wajah utama kempen parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.


Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, perkara itu pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan parti.


Bagaimanapun, kata beliau, keputusan mengenainya dijangka diumumkan oleh Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa yang sesuai.


"Saya rasa saya pernah juga berbincang dengan Presiden. Presiden kata tidak mengapa, kita tengok. Ada juga bunyi-bunyinya dan kita tunggu nanti.


"Mungkin semasa penamaan calon atau ketika kempen berlangsung, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan mengumumkan siapakah pemuka yang bakal menjadi figura itu," katanya dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.


Menurut beliau, wanita merupakan tonggak penting bukan sahaja kepada institusi keluarga, malah kepada masyarakat dan ekonomi negara.


"Ramai wanita di luar sana mempunyai potensi yang sangat tinggi dan kita perlu memastikan dasar-dasar kerajaan dapat membantu mereka mengembangkan potensi tersebut.


"Keperluan wanita juga berbeza mengikut kawasan. Di kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung, cabarannya tidak sama. Sebab itu dasar yang kita laksanakan mesti mengambil kira keperluan setempat," katanya.


Dr Zaliha berkata masih ramai wanita berpendidikan tinggi yang berada di luar sistem pekerjaan negara atas pelbagai faktor termasuk tanggungjawab keluarga.


Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu menyediakan dasar yang lebih mesra wanita bagi memudahkan penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan.


Beliau memberi contoh inisiatif pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja yang pernah diperkenalkan ketika beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.


"Ketika itu kita memperkenalkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Pada awalnya diperuntukkan RM10 juta dan selepas mendapat sambutan yang baik, peruntukan ditingkatkan kepada RM30 juta.


"Ia bertujuan membantu wanita bekerja yang mempunyai anak kecil supaya mereka dapat mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya," kata Dr Zaliha yang juga merupakan Ahli Parlimen Sekijang.


Mengulas mengenai strategi menarik sokongan pengundi wanita menjelang PRN Johor, Dr Zaliha menegaskan kerajaan tidak boleh melihat golongan wanita semata-mata sebagai sumber undi.


Sebaliknya, kata beliau, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memahami dan menangani keperluan khusus wanita menerusi dasar yang lebih inklusif dan menyeluruh.


"Kita jangan tinggalkan wanita. Bukan sahaja untuk mendapatkan undi wanita, tetapi kerana ia adalah tanggungjawab kita.


"Wanita mempunyai keprihatinan yang berbeza, terutama berkaitan anak-anak, keluarga dan kesejahteraan rumah tangga. Sebab itu dasar yang dilaksanakan perlu membantu dan memudahkan kehidupan mereka," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page