top of page

Tidak mungkin Parlimen dibubar setiap kali Menteri letak jawatan - AMK Kedah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 day ago
2 min read

Gesaan supaya Parlimen dibubarkan susulan tawaran peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan disifatkan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail (gambar) sebagai hujah dangkal bagi persoalan politik yang besar.


Katanya, tawaran Loke hanya terhad kepada reaksi atau pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang tidak sejalan dengan prinsip DAP, tidak lebih daripada itu.


Oleh itu, gesaan sesetengah pihak agar Perdana Menteri membubarkan Parlimen adalah karut sama sekali.


"Anthony Loke tidak mengumumkan DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Malah, wakil DAP yang lain masih kekal dalam Kabinet.


"Jadi, di mana sebenarnya asas untuk mendakwa Kerajaan Madani sudah ‘hampir karam’?" katanya dalam kenyataan media hari ini.


Menurut Fitri, jika setiap perbezaan pandangan atau peletakan jawatan seorang menteri dijadikan alasan untuk membubarkan Parlimen maka negara perlu mengadakan pilihanraya semula setiap kali berlaku perubahan politik.


Beliau turut merujuk pendirian Loke pada awal September lalu bahawa tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen selagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.


"Jadi janganlah kerana satu perkembangan politik hari ini, terus mahu menjadikan pilihanraya sebagai jalan pintas.


"Kalau benar-benar yakin Kerajaan Madani sudah gagal, buktikan dengan hujah, dasar dan fakta, bukan sekadar ulang perkataan ‘bubar Parlimen’," katanya.


Beliau berkata rakyat tidak mahu kerajaan bertukar setiap kali berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan ahli politik, sebaliknya mahukan tumpuan diberikan kepada isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesinambungan reformasi.


"Rakyat bukan mahu kerajaan bertukar setiap kali ahli politik gagal mengurus perbezaan pandangan.


"Rakyat mahu ekonomi diperkukuh, kos sara hidup ditangani, peluang pekerjaan diperluas dan reformasi diteruskan," ujarnya.


Mohammad Fitri berkata Parlimen tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menyelesaikan keresahan politik mana-mana parti.


"Dan kepada yang terlalu ghairah mahu Parlimen dibubarkan, satu soalan mudah: Adakah benar-benar mahu pilihanraya, atau cuma mahu menggunakan isu semasa untuk mencipta gambaran bahawa kerajaan sedang runtuh?


"Rakyat boleh menilai sendiri," katanya lagi.


Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Strategik Umno Kedah, Syed Mohd Johan dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar harus membubarkan Parlimen susulan keputusan Menteri Pengangkutan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan.


Kata Syed Mohd Johan, langkah itu perlu bagi membolehkan rakyat menentukan kerajaan yang mereka mahukan, berbanding membiarkan 'drama politik' berterusan sehingga tamat penggal.


"Kerajaan Madani sudah hampir karam dan tidak mampu dipertahankan lagi, jikalau menunggu sehingga habis penggal lagi banyak politiking akan berlaku dan ia tidak baik untuk ekonomi negara, menjejaskan reputasi pada negara luar dan yang paling merisaukan kualiti hidup rakyat akan semain terhakis," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page