Jasa ratusan tahun bukan lesen rompak harta negara - PM


Jasa seseorang kepada negara sekalipun selama ratusan tahun tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan perbuatan rasuah, penyelewengan atau merompak harta rakyat, demikian tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata sikap berkompromi dengan rasuah semata-mata kerana mengenang jasa seseorang bukan sahaja merosakkan negara malah bertentangan dengan ajaran Islam.
"Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara.
"Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, budaya bertoleransi terhadap perbuatan salah atau "tolerance for evil" merupakan antara punca yang boleh merosakkan masyarakat sekiranya terus dibiarkan.
"Tolerance for evil inilah yang merosakkan kita. Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara," katanya.
Menerusi hantaran sama, Anwar turut berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan MADANI Siri 14 yang menyentuh bahaya budaya permissiveness atau sikap terlalu bertolak ansur terhadap kesalahan.
Beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak membiasakan diri menerima perbuatan salah hanya kerana menganggap kesalahan itu kecil atau dilakukan oleh individu yang mempunyai kedudukan dan jasa tertentu.
Anwar turut memetik pandangan tokoh pemikir dan bekas pemimpin Indonesia, Mohammad Natsir, mengenai budaya membiarkan salah laku sehingga perbuatan mencuri dan menyeleweng dalam jumlah besar juga dianggap tidak mengapa.
"Saya selalu peringatkan apa yang pernah disebut pemimpin Indonesia, Muhammad Natsir sebagai budaya permissiveness. Semua okey. Rosak sikit, okey. Curi sikit, okey. Sikit berapa? Bilion, okey. Jadi, this tolerance for evil yang merosakkan kita," katanya.
Kehancuran umat berpunca sikap pilih kasih
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri turut berkongsi hadis Rasulullah SAW yang menegaskan prinsip keadilan dalam pelaksanaan undang-undang tanpa mengira kedudukan, pangkat atau hubungan kekeluargaan.
Hadis diriwayatkan Aisyah RA itu menyebut bahawa kehancuran umat terdahulu berpunca daripada sikap pilih kasih apabila golongan berkedudukan tinggi yang melakukan kesalahan dibiarkan, sedangkan hukuman dikenakan terhadap golongan lemah.
Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, baginda tetap akan melaksanakan hukuman terhadapnya. Hadis berkenaan diriwayatkan Imam al-Bukhari (3475).
Pendirian Anwar itu dikongsikan ketika perhatian awam turut tertumpu kepada perkembangan pelaksanaan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan notis perintah beliau menjalani baki hukuman penjara kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.
Pada 10 November, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin membatalkan sepenuhnya perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Menerusi keputusan itu, Najib diperintahkan menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perintah baharu itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara memohon semakan bagi memastikan pelaksanaan hukuman berkenaan selaras dengan perintah pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Keputusan mahkamah itu sekali gus memperincikan kaedah pelaksanaan pengampunan bersyarat berkenaan, selepas timbul persoalan berhubung perintah terdahulu yang dikeluarkan pada 6 November.




Comments