top of page

Isu tahanan rumah selesai di mahkamah, mana bukti Kerajaan MADANI pengaruhi AG?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
13 minutes ago
2 min read
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Nabil Halimi
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Nabil Halimi

Dakwaan kononnya wujud campur tangan Kerajaan MADANI berhubung urusan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, perlu disertakan dengan bukti dan tidak wajar dibuat sewenang-wenangnya, tegas Nabil Halimi.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat itu berkata, mungkin ada yang terlupa bahawa portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) diterajui oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Ketua Penerangan Umno.


"Namun, kedudukan beliau tidak bermakna AGC membuat keputusan atas arahan politik mana-mana pihak.


"Jangan kerana terlalu tidak sabar mahu melihat Najib pulang ke rumah, usaha memastikan titah Agong dilaksanakan dengan tepat pula dituduh sebagai konspirasi politik," katanya dalam kenyataan hari ini.


Nabil berkata, Pakatan Harapan (PH) menghormati proses pengampunan diraja dan keputusan Lembaga Pengampunan, meskipun tidak bersetuju dengan kelonggaran tahanan rumah dari sudut prinsip perjuangan menentang rasuah.


"Namun, satu hakikat mesti diingat. Najib pulang ke rumah bukan kerana beliau didapati tidak bersalah tetapi kerana dibenarkan menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.


"Beliau masih seorang pesalah yang telah disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International, malah Najib turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB, yang kini masih dalam proses rayuan.


"Jangan terlalu ghairah meraikan kepulangannya sehingga terlupa mengapa beliau dihantar ke penjara sejak awal.


"Kita menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, keputusan Lembaga Pengampunan dan proses kehakiman tetapi penghormatan itu tidak bermaksud kita perlu memutihkan rekod jenayah rasuah.


"Yang dipinda ialah perintah pelaksanaan hukuman, bukannya sabitan jenayah Najib. Rumahnya mungkin kini menjadi tempat menjalani hukuman tetapi sabitan bersalahnya tetap tidak berubah," katanya lagi.


Malaysia negara hukum


Dalam kenyataan sama, Nabil berkata, keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan perintah pelepasan terdahulu dan menggantikannya dengan perintah baharu menunjukkan tindakan AGC mendapatkan penelitian dan pembetulan perintah tersebut mempunyai asas perundangan yang jelas.


Ujarnya lagi, Malaysia ialah negara hukum dan setiap keputusan mesti dilaksanakan mengikut prosedur perundangan yang sah termasuk keputusan pengampunan diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.


"Justeru, tindakan AGC mendapatkan penjelasan dan pembetulan perintah mahkamah bukanlah mengingkari titah Agong.


"Sebaliknya memastikan titah Baginda serta keputusan Lembaga Pengampunan dilaksanakan dengan tepat, tanpa sebarang penyimpangan daripada maksud asalnya," katanya lagi.


Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah bertarikh 6 November dan mengeluarkan perintah baharu bagi pelaksanaan baki hukuman kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.


Najib kemudiannya dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, berkuat kuasa serta-merta.


Pada 6 November lalu, denda RM50 juta yang dikenakan itu telah dilunaskan di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page