top of page

'Dahulu Zahid pertahan mandat habis penggal, kini mahu Parlimen bubar'

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
14 minutes ago
2 min read
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad

Kenyataan terbaru Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan pembubaran Parlimen dipersoalkan sedangkan sebelum ini beliau menegaskan komitmen mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu menimbulkan persoalan sama ada Umno sekali lagi mahu mengulangi episod ketidakstabilan politik yang pernah berlaku ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


"Belum lama dahulu, Zahid bercakap soal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong akan mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.


"Sekarang lain pula bunyinya. Minta bubar," katanya dalam hantaran di Facebook.


Faezuddin berkata rakyat masih mengingati tindakan Umno menarik sokongan terhadap kerajaan Muhyiddin pada Julai 2021 sebelum parti itu turut memberi tekanan kepada Ismail Sabri supaya membubarkan Parlimen pada Ogos 2022.


"Apakah sekarang Zahid mahu mengulangi episod yang sama?" soalnya.


Semalam Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno mencadangkan supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapat mandat baharu berbanding melakukan rombakan Kabinet susulan perkembangan membabitkan kedudukan beberapa anggota pentadbiran kerajaan.


Beliau berkata pihaknya tidak melihat keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet ketika ini, meskipun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan.


Setiausaha Agung DAP itu menunaikan janjinya meletakkan jawatan semalam susulan notis perintah baharu Mahkamah Tinggi agar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.


Zahid mahu bubar


"Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet. Sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan. Itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah Kabinet baharu selepas itu," kata Zahid ketika ditemui selepas menghadiri program bersama kakitangan KEMAS di Melaka, Selasa lalu.


Kenyataan itu mengundang perhatian kerana Zahid sebelum ini menegaskan BN akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.


Mengulas lanjut, Faezuddin berkata kenyataan berhubung pembubaran Parlimen bukan perkara kecil kerana boleh menimbulkan keresahan, menggugat kestabilan politik negara dan menjejaskan keyakinan pelabur.


Katanya keadaan itu akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan melaksanakan pelbagai agenda reformasi.


Beliau turut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran apabila perlu menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negara, tetapi pada masa sama berhadapan percaturan politik dalam kalangan rakan kerajaan sendiri.


"Kasihan PM Anwar yang siang malam bekerja kuat memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan berusaha melaksanakan pelbagai reformasi. Tetapi dalam masa yang sama, terpaksa pula melayan kerenah politik Timbalan Perdana Menterinya sendiri.


"Sekarang Malaysia sudah berada di landasan yang betul. Janganlah kerana Zahid dan Umno pentingkan percaturan politik, segala usaha dan pencapaian yang telah dibina Kerajaan MADANI menjadi sia-sia," katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memberikan ruang kepada Anwar untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pentadbiran negara dan agenda pembangunan.


"Buat masa sekarang ini beri ruang kepada Perdana Menteri menumpukan sepenuh perhatian kepada segala usaha untuk membawa Malaysia ke satu tahap pencapaian yang terbaik.


"Cukup-cukuplah dengan episod perebutan kuasa yang pernah dan akan merugikan negara lagi.


"Apabila tiba masanya nanti, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai dan menentukan siapa yang layak memerintah," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page