Tidak cukup Borang A, KEADILAN mohon SPR Johor tangguh tarikh akhir pendaftaran
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor menangguhkan tarikh akhir pendaftaran Ejen Tempat Mengundi (PACA) dan Ejen Mengira Undi (EMU) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan kekurangan Borang A di beberapa pejabat SPR daerah.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat KEADILAN, beberapa calon parti itu tidak dapat melengkapkan Borang A di bawah Subseksyen 5(1) bagi Borang Sumpah Kerahsiaan kerana bekalan borang berkenaan dilaporkan tidak mencukupi.
"Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) KEADILAN telah dimaklumkan bahawa terdapat beberapa calon Parti Keadilan Rakyat yang bertanding tidak dapat melengkapkan Borang A [Subseksyen 5(1)] Borang Sumpah Kerahsiaan kerana borang tersebut dilaporkan tidak mencukupi untuk diedarkan," menurut kenyataan itu.
JPRP memaklumkan Pengarah Bersama JPRP, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengemukakan surat rasmi kepada Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaimon, bagi memohon lanjutan tempoh pendaftaran.
Menurut kenyataan itu, beberapa Pejabat SPR di peringkat daerah memaklumkan Borang A hanya dijangka kembali tersedia pada Isnin, 6 Julai ini.
"JPRP KEADILAN juga dimaklumkan Borang A ini hanya akan kembali tersedia pada hari Isnin, 6 Julai 2026 menurut beberapa Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di peringkat daerah.
"Oleh yang demikian besar harapan KEADILAN agar SPR Johor memberi ruang pelanjutan masa bagi semua calon sedia untuk melengkapkan proses ini," menurut kenyataan itu.
Sekretariat berkenaan turut menghargai tindakan pantas Pengarah SPR Johor yang memberi maklum balas terhadap permohonan tersebut dan berharap diberi pertimbangan saksama yang akan membantu kelancaran proses demokrasi yang sedang berlangsung.




Comments