Tidak benar peruntukan negeri pembangkang berkurang, T'ganu dapat RM8 bilion


Kabinet memutuskan agar semua kawasan Parlimen diberikan pertimbangan dalam penyaluran peruntukan pembangunan, termasuk kawasan yang diwakili pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan kepada Terengganu yang merupakan negeri ditadbir pembangkang turut meningkat daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion pada 2027, sekali gus menepis tanggapan bahawa Kerajaan MADANI meminggirkan negeri pembangkang.
"Saya beri contoh (negeri) Terengganu, itu negeri pembangkang. Semasa parti Yang Berhormat (YB Besut) memerintah, peruntukan untuk Terengganu keseluruhannya RM6 bilion daripada Persekutuan.
"Dalam tahun 2027, di bawah Kerajaan MADANI, kita naikkan kepada RM8.2 bilion. Jadi saya nak jelaskan di sini, isunya apakah ada pengurangan, tidak.
"Malah (peruntukan) ditambah. Saya tegaskan di sini, dari segi rekod, baik di setiap kawasan Parlimen atau negeri, kita tidak pinggirkan.
"Soal kenyataan-kenyataan Yang Berhormat yang terus menyerang itu soal lain, tetapi saya beri fakta di sini," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai sama ada kerajaan MADANI berhasrat menggubal mekanisme peruntukan sama rata serta menunaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Anwar berkata, persoalan mengenai penyaluran peruntukan kepada kawasan Parlimen perlu dibezakan daripada isu penyaluran dana secara langsung kepada Ahli Parlimen.
Ujarnya, peruntukan pembangunan bagi sesuatu kawasan Parlimen tetap disalurkan kepada kawasan berkenaan, manakala penentuan projek melibatkan Ahli Parlimen, kerajaan negeri dan kementerian berkaitan.
"Yang dibangkitkan itu (ialah isu) mengapa tidak melalui Ahli Parlimen? Itu beza.
"Tapi peruntukan berbeza daripada tanggapan. Kami dianaktirikan? ‘Kami’ mana (dianaktirikan)? Rakyat tidak dianaktirikan, kawasan (juga) tidak dianaktirikan.
"Apakah projek itu mesti melalui Parlimen? Tidak. Dalam kawasan parti-parti kerajaan pun tidak diberi kepada Ahli Parlimen. Ahli Parlimen (hanya) mengesahkan (sesuatu) projek itu dan dana untuk pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen," jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan.




Comments