top of page

Penglibatan GLIC, GLC dalam projek kerajaan percepat pembangunan

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
2 hours ago
2 min read

Penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun dalam pelaksanaan projek pembangunan bertujuan memenuhi agenda pembangunan negara berteraskan kerangka Ekonomi MADANI, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).


Perdana Menteri berkata, pendekatan itu juga bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik dengan memastikan institusi berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada keuntungan pelaburan, malah meningkatkan pelaburan dalam negara demi kepentingan ekonomi tempatan.


"Dari segi strateginya ialah untuk memperkukuh daya tahan ekonomi domestik. Mengapa beberapa GLIC umpamanya mencatat keuntungan besar setelah melabur di luar negara dan kurang beri perhatian dalam negara?


"Jadi sebab itu mandat GLIC dan GLC dipertahankan, pertama untuk memastikan ada keberuntungan termasuk peratusan untuk pelaburan dalam negara yang kita tetapkan dan mengambil kira kepentingan agenda negara termasuk umpamanya soal warisan, soal kepentingan Bumiputera dan soal kepentingan ekonomi tempatan," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).


Anwar menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta Perdana Menteri menyatakan rasional langkah kerajaan melibatkan jabatan kerajaan, GLIC, GLC serta badan berkanun dalam pelaksanaan projek pembangunan dan bagaimana pendekatan itu dapat mempercepat penyelesaian masalah rakyat dengan tetap memelihara mandat serta tanggungjawab utama institusi berkenaan.


Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, kekuatan GLIC terletak pada keupayaannya membuat pelaburan berdasarkan kepentingan jangka panjang, berbeza dengan sesetengah pelabur swasta yang lebih menumpukan perhatian kepada keuntungan jangka pendek.


Ujar beliau yang juga Menteri Kewangan, pendekatan itu turut diterapkan menerusi Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang mengambil kira kepentingan semasa, jangka sederhana dan jangka panjang.


"Sebab itu sejak tahun 2023, kita merencanakan mengikut perencanaan 2024-2028.


"GLIC bersetuju memberi komitmen atas keputusan mereka ikut keutamaan dan penilaian masing-masing untuk pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun (2024–2028).


"Ini selain yang sedia ada yang mencecah RM440 bilion dalam pasaran awam domestik dan kebetulan dalam Sidang Bank Dunia awal bulan ini di Bangkok, hal yang sama diberi penekanan (tetapi) kita telah melakukan dua tahun yang lalu.


"Umpamanya Dana Impak Khazanah melabur RM2.6 bilion sejak ditubuhkan pada 2021 untuk membantu syarikat tempatan berkembang sebagai pemangkin bagi menarik pelabur swasta dalam negara dan luar negara," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page