KEADILAN Baram sedia tanding tiga kerusi DUN pada PRN13


KEADILAN Cabang Baram mengekalkan komitmen untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Marudi, Telang Usan dan Mulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Ketua Cabang KEADILAN Baram, Roland Engan berkata keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat khas jawatankuasa cabang pada 25 Oktober lalu, sebagai usaha membawa aspirasi rakyat serta memperjuangkan pembangunan lebih adil dan menyeluruh di kawasan Baram.
"Bakal calon KEADILAN bagi ketiga-tiga kawasan DUN tersebut telah lama dikenal pasti dan sedang membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
"Kami yakin bahawa persediaan yang rapi, komitmen perjuangan serta sokongan rakyat merupakan asas penting untuk menawarkan kepimpinan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Tiga kerusi yang menjadi sasaran KEADILAN Baram ialah N76 Marudi, N77 Telang Usan dan N78 Mulu.
Menurut Roland, PRN13 membawa landskap politik berbeza berbanding pilihanraya terdahulu apabila KEADILAN kini menjadi sebahagian daripada parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan bersama gabungan dan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, kedudukan itu membuka ruang kepada KEADILAN Baram untuk membawa isu serta keperluan masyarakat pedalaman ke peringkat lebih tinggi, selain memperkukuh kerjasama bagi memastikan pembangunan Sarawak dilaksanakan secara adil dan seimbang.
"Dalam masa yang sama, KEADILAN Baram sentiasa terbuka kepada persefahaman dan kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gerakan yang berkongsi aspirasi perjuangan kami," katanya.
Beliau berkata antara perkara yang menjadi keutamaan ialah mempertahankan hak tanah adat dan kepentingan masyarakat Orang Asal Sarawak, memastikan pembangunan seimbang di kawasan pedalaman serta memperluas peluang ekonomi, pendidikan dan kemudahan asas.
Selain itu, katanya, KEADILAN Baram mahu memastikan masyarakat pedalaman diberi ruang dalam proses membuat keputusan, di samping memelihara warisan tanah, hutan dan sungai demi kesejahteraan generasi akan datang.
Roland berkata, pembangunan perlu dilaksanakan tanpa mengabaikan identiti, adat dan hak masyarakat tempatan, supaya penduduk dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan bermaruah.
"Bagi KEADILAN Baram, politik bukan sekadar pertandingan untuk memenangi kerusi. Politik ialah amanah untuk membela rakyat, memperjuangkan hak yang sah dan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang yang adil untuk menikmati kemajuan," katanya.
Beliau berkata masa depan Baram dan Sarawak perlu dibina melalui kepimpinan bertanggungjawab, kerjasama ikhlas serta dasar pembangunan yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
"KEADILAN Baram bersedia menghadapi PRN13 dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak yang benar-benar komited terhadap keadilan, hak rakyat serta pembangunan Sarawak yang lebih baik," katanya lagi.




Comments