KEADILAN Hulu Rajang muktamadkan DUN Murum, DUN Belaga, Baleh masih dirunding


KEADILAN Cabang Hulu Rajang memuktamadkan pendirian untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, manakala rundingan bagi kerusi Belaga dan Baleh masih berlangsung.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, Abun Sui Anyit berkata keputusan mengambil kerusi Murum itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Cabang KEADILAN Hulu Rajang kali ke-18 pada 24 Oktober lalu.
Beliau berkata keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat.
"Bagi DUN Murum, pendirian untuk mengambil kerusi tersebut telah dimuktamadkan pada 24 Oktober 2026 dan akan dimaklumkan kepada pihak atasan parti.
"Bagi DUN Belaga dan Baleh, rundingan masih berlangsung dan Cabang tidak akan mendahului proses dengan mengumumkan keputusan yang belum dimuktamadkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pendirian itu mencerminkan kesediaan KEADILAN Hulu Rajang memperkukuh kedudukan parti di kawasan berkenaan, selain memastikan suara masyarakat pedalaman, khususnya Orang Asal, diberi perhatian dalam agenda pembangunan dan pentadbiran Sarawak.
Abun Sui berkata perjuangan parti itu bukan sekadar untuk bertanding atau memenangi kerusi pilihan raya, sebaliknya memastikan hak rakyat dilindungi, masalah masyarakat diselesaikan dan pembangunan dilaksanakan secara adil.
Beliau berkata isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kekal sebagai keutamaan kerana masih terdapat penduduk rumah panjang yang belum memperoleh geran tanah walaupun menduduki, mengusahakan dan mewarisi tanah berkenaan secara turun-temurun.
"KEADILAN Hulu Rajang akan memperjuangkan proses yang telus, cekap dan adil, termasuk penyelesaian pertikaian tanah, penghormatan terhadap adat serta penglibatan masyarakat tempatan dalam keputusan yang menyentuh hak mereka," katanya.
Beliau berkata, sekiranya calon KEADILAN mendapat mandat rakyat isu pertikaian tanah itu akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk dibahaskan sehingga penyelesaian yang adil dapat dicapai.
Selain isu tanah adat, katanya, parti itu turut memberi perhatian kepada pertikaian membabitkan pekebun kecil kelapa sawit di Murum dengan syarikat perladangan.
Menurut beliau, pekebun kecil bergantung kepada hasil tanaman untuk menyara keluarga, membiayai pendidikan dan memenuhi keperluan harian, namun berdepan ketidakseimbangan kuasa apabila berurusan dengan syarikat besar, termasuk dalam konflik berkaitan tanah.
"KEADILAN Hulu Rajang akan menyuarakan masalah pekebun sawit di Murum dan mendesak supaya setiap pertikaian diselesaikan secara telus, adil dan berpandukan undang-undang, tanpa menafikan hak rakyat penduduk asal Daerah Belaga," katanya.
Beliau berkata antara perkara yang akan diperjuangkan ialah perlindungan hak pemilik tanah adat dan pekebun kecil yang sah, perjanjian adil antara pihak berkepentingan, pampasan munasabah serta akses kepada bantuan guaman dan saluran penyelesaian pertikaian.
Katanya, parti itu juga mahu siasatan dan penyelesaian segera terhadap pertikaian pekebun sawit di Murum, selain sokongan kerajaan bagi meningkatkan produktiviti, akses pasaran dan pendapatan pekebun kecil.
"Kami tidak menolak pelaburan atau pembangunan industri perladangan, tetapi pembangunan mesti menghormati undang-undang, hak masyarakat tempatan dan prinsip keadilan.
"Syarikat besar tidak seharusnya mendapat manfaat dengan mengetepikan hak pemilik tanah dan pekebun kecil," katanya.
Dalam pada itu, Abun berkata pembangunan kawasan pedalaman perlu dipertingkatkan secara seimbang, merangkumi kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, telekomunikasi, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi.
Menurutnya, penduduk pedalaman tidak sepatutnya terus berdepan kekurangan kemudahan asas sedangkan tanah dan sumber semula jadi di kawasan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Pembangunan mesti meningkatkan taraf hidup penduduk, membuka peluang kepada anak muda dan memastikan masyarakat tempatan menerima manfaat yang adil," ujarnya.
Beliau berkata KEADILAN Hulu Rajang akan meneruskan persiapan menghadapi PRN13 berdasarkan keputusan rasmi cabang serta perkembangan rundingan kerusi yang masih berjalan.
Tambah beliau, cabang itu juga terbuka kepada parti atau gerakan yang berkongsi aspirasi mempertahankan hak tanah adat, membela pekebun kecil dan memperjuangkan pembangunan adil bagi masyarakat pedalaman.
"Tanah adat mesti dilindungi. Pekebun kecil mesti dibela. Pertikaian rakyat dengan syarikat mesti diselesaikan secara adil. Pembangunan pedalaman mesti dipercepat. Hak rakyat mesti menjadi keutamaan," katanya lagi.




Comments