'Kita fokus selesai semua isu tertangguh di Paya Rumput' - Azman


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menumpukan usaha mengenal pasti dan mencari penyelesaian terhadap isu yang belum diselesaikan di kawasan itu.
Datuk Azman Abidin berkata setiap kawasan mempunyai permasalahan tersendiri, termasuk isu mungkin tidak dapat diselesaikan sepenuhnya oleh wakil rakyat terdahulu.
"Mungkin ada isu tidak dapat diselesaikan kerana bukan semua perkara boleh diselesaikan dalam masa lima tahun.
"InsyaAllah, saya cuba mencari penyelesaian kepada apa-apa isu yang masih belum diselesaikan, selain menambah baik keadaan," katanya dipetik laporan media.
Azman yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri ditemui pemberita selepas Program Penutup Minggu Melaka Ceria di Padang Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak.
Ditanya keputusannya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau menjelaskan hal itu didorong keinginan untuk berbakti kepada negeri yang mempunyai kaitan dengan asal usul keluarganya.
"Keluarga saya semuanya berasal dari Melaka, cuma dari segi DUN, saya bukan dari Paya Rumput sebaliknya kawasan Masjid Tanah yang terletak bersebelahan sahaja.
"Yang penting, kita boleh berkhidmat kepada orang Paya Rumput," katanya yang melihat PRN kali ini sebagai peluang untuk beliau menyumbang kepada negeri itu.




Comments