top of page

AMK Johor gerak jentera bantu kempen PH di Melaka

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Ketua AMK Johor, Faezuddin (tengah, duduk) bersama pimpinan utama AMK Johor
Ketua AMK Johor, Faezuddin (tengah, duduk) bersama pimpinan utama AMK Johor

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor bersedia menggerakkan jentera bagi membantu kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, tertakluk kepada penyelarasan parti.


Komitmen itu dinyatakan selepas Biro Politik AMK Johor mengadakan mesyuarat pada 25 Oktober lalu bagi membincangkan hala tuju gerak kerja politik, memperkukuh kesiapsiagaan jentera serta menyelaras usaha membantu kempen di Melaka.


Dalam kenyataan AMK Johor, sayap pemuda itu turut merakamkan tahniah dan mengucapkan selamat berjuang kepada semua calon PH, khususnya calon daripada KEADILAN dan AMK.


"Semangat berpasukan, kekuatan jentera dan pendekatan politik yang berteraskan khidmat kepada rakyat merupakan antara kunci penting dalam menghadapi pilihanraya," kata kenyataan itu.


AMK Johor berkata pihaknya komited membantu kempen PH bagi memastikan mesej perjuangan serta tawaran dasar kepada rakyat dapat disampaikan dengan berkesan.


Pada masa sama, AMK Johor menyeru rakyat Melaka supaya menolak parti politik yang menggunakan sentimen perkauman dan agama demi kepentingan politik sempit sehingga mengancam keharmonian masyarakat.


"Pilihanraya seharusnya menjadi medan untuk menilai dasar, keupayaan dan komitmen sesebuah parti dalam menyelesaikan permasalahan rakyat, bukannya ruang untuk menyemarakkan perpecahan.


"Perpaduan dalam masyarakat majmuk mesti dipelihara kerana kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat tidak boleh dikorbankan demi meraih keuntungan politik sementara," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, perjuangan politik tidak seharusnya terbatas kepada musim pilihanraya semata-mata, sebaliknya pendekatan politik berteraskan khidmat kepada rakyat perlu terus menjadi teras perjuangan.


Pemahaman Belanjawa 2027


Sehubungan itu, AMK Johor akan menggerakkan jentera penerangan di peringkat cabang bagi memperluas pemahaman rakyat terhadap inisiatif, dasar dan manfaat Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pada masa sama, AMK Johor menegaskan komitmen untuk memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap Kerajaan Johor, meskipun menyokong agenda pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat.


"Sokongan terhadap agenda pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat tidak bermakna setiap keputusan kerajaan harus diterima tanpa penelitian," katanya.


AMK Johor turut menekankan kepentingan menyuburkan idealisme politik berbilang kaum yang menjadi asas perjuangan KEADILAN, dengan perpaduan, keadilan sosial dan kesaksamaan peluang terus dipertahankan dalam masyarakat majmuk.


Mengulas kedudukan KEADILAN di Johor, kenyataan itu menyebut parti berkenaan hanya memenangi satu kerusi DUN, iaitu Puteri Wangsa, namun tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat tetap menjadi keutamaan.


"Kemenangan tersebut bukan sekadar mandat politik tetapi amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.


"Setiap manifesto, komitmen dan janji yang telah dikemukakan kepada rakyat mesti diberikan perhatian serius," katanya.


AMK Johor menjelaskan, golongan anak muda juga perlu memainkan peranan secara konstruktif dengan memantau pelaksanaan dasar serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan politik.


"AMK Johor percaya bahawa kekuatan sesebuah parti bukan hanya diukur melalui jumlah kerusi yang dimenangi tetapi juga kesungguhan berkhidmat, keberanian membawa perubahan dan keupayaan menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat," kata kenyataan itu.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page