top of page

'Tidak adil minta Hamas letak senjata, Israel kekal agresif di Palestin'

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • Aug 3
  • 2 min read

ree

‘Deklarasi New York’ yang dibawa oleh Perancis dan Arab Saudi pada 30 Julai lalu di Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) yang mengetengahkan pelaksanaan Two-State Solution (2SS) sebagai jalan penyelesaian konflik Israel-Palestin telah lama didukung dunia Islam termasuk Malaysia namun pelaksanaannya tergendala kerana sering tidak mendapat kerjasama Israel.


Bagi Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat, Dr Maszlee Malik, situasi pada waktu ini tidak kondusif untuk Hamas berdasarkan 2SS diminta meletak senjata secara sepihak namun Israel kekal dengan sikap agresif dan tidak berundur dari wilayah Gaza.


Hal itu, katanya, hanya akan memacu keputusan serupa seperti sebelum ini iaitu kegagalan demi kegagalan.

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik

"Kami mengingatkan pelaksanaan 2SS telah berkali-kali gagal sebelum ini bukan kerana penolakan dari rakyat Palestin, tetapi kerana keengganan Israel untuk tunduk kepada resolusi PBB dan prinsip asas keadilan antarabangsa.


"Maka meletakkan syarat berat sebelah terhadap Hamas tanpa mengikat Israel kepada sebarang komitmen undang-undang adalah tindakan yang tidak seimbang dan tidak adil.


"Biro Antarabangsa KEADILAN dengan itu menyeru agar sebarang peralihan kuasa atau pentadbiran di Gaza perlu dilaksanakan melalui ‘proses pilihanraya yang bebas dan adil di bawah pengawasan antarabangsa, bukan ditentukan oleh kuasa luar.’


"Prinsip kedaulatan dan hak Self-Determination adalah hak mutlak rakyat Palestin, bukan negara lain," kata Dr Maszlee dalam kenyataannya menjelang jawapan Menteri Luar di sidang Dewan Rakyat mengenai sikap Malaysia terhadap perkembangan terbaharu di Asia Barat.


Tegas Dr Maszlee, sebarang pendirian rasmi Malaysia terhadap Deklarasi New York haruslah mengambil kira beberapa faktor.


Iaitu, komitmen Malaysia terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia; keseimbangan antara keperluan diplomasi global dan sentimen rakyat Malaysia; dan memastikan semua pihak termasuk Israel untuk patuh dan dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.


"Justeru, jika terdapat klausa dalam deklarasi yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia atau boleh menjejaskan prinsip keadilan, maka pilihan untuk berkecuali atau abstain atas mana-mana bahagian deklarasi tersebut wajar dipertimbangkan.


"Biro Antarabangsa Keadilan bersama dengan pendirian negara untuk menyokong proses menghentikan krisis kemanusiaan dan proses damai, tetapi harus berasaskan kepada prinsip keadilan dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa," katanya lagi.


Untuk rekod, selepas Deklarasi New York diusulkan ke PBB beberapa negara Arab utama mendesak Hamas meletak senjata sebagai awalan kepada proses damai dengan rejim Zionis.


Bagaimanapun jurucakap Hamas sebagaimana dilaporkan menolak untuk meletak senjata selagi mana Palestin tidak merdeka dan diperintah sendiri secara berdaulat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page