Tian Chua kembali bersama KEADILAN
- Suara Keadilan

- 45 minutes ago
- 2 min read

Pengumuman penerimaan semula Chua Tian Chang atau Tian Chua (gambar) ke dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) disambut baik pimpinan dan anggota parti, khususnya dalam kalangan pejuang Reformasi.
Ahli Jawatankuasa Biro Latihan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Rozan Azen Mat Rasip berkata, beliau gembira dengan keputusan Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengembalikan keanggotaan Tian Chua dalam parti.
"Saya berasa syukur dan menyambut dengan penuh kegembiraan pengumuman dibuat oleh Presiden KEADILAN semasa menyampaikan Ucapan Penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 bahawa Tian Chua telah diterima kembali keanggotaan beliau dalam parti KEADILAN," katanya dalam kenyataan.
Rozan berkata, keputusan itu diyakini turut diraikan pimpinan KEADILAN Cabang Batu dan Wilayah Persekutuan serta dinantikan anggota parti.
Menurut beliau, Tian mempunyai rekod perjuangan yang panjang dalam agenda Reformasi selain memiliki pengalaman dan kemahiran politik yang tersendiri.

Katanya, pengalaman Tian tersebut termasuk pernah memegang jawatan Naib Presiden KEADILAN selama lebih 20 tahun serta beberapa jawatan utama parti selain menjadi Ahli Parlimen Batu selama dua penggal.
"Sepertimana kita ketahui, Tian mempunyai prestasi rekod perjuangan yang sekian lama dalam agenda Reformasi lantas mempunyai kelebihan kemahiran politik yang tersendiri," katanya.
Rozan berkata, bakat politik Tian turut terserlah apabila beliau sering tampil sebagai jurucakap bagi isu-isu yang melibatkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk isu konflik antarabangsa.
"Beliau sering menjadi jurucakap isu rakyat pelbagai segmen masyarakat termasuklah dalam isu-isu konflik antarabangsa seperti pembelaan pada nasib para penduduk di Gaza, Palestin yang dizalimi oleh rejim Israel dan pihak yang bersekongkol," katanya.
Beliau menyifatkan kepulangan Tian ke dalam KEADILAN sebagai langkah penting menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Kehadiran kembali beliau dalam KEADILAN amatlah penting dan signifikan dalam menjelang persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16," katanya.
Ketua Biro Latihan KEADILAN Cabang Batu itu berkata, pengalaman dan pengaruh Tian bersama kepimpinan parti diyakini mampu menyuntik semula semangat anggota serta memperkukuh gerak kerja KEADILAN.
"Kami yakin Tian Chua dengan pimpinan akan menyuntik semula semangat gerak kerja dan fokus sasaran penting dalam mengangkat kembali KEADILAN sebagai parti yang lebih berwibawa," katanya.




Comments