Tiada usaha mendemonisasi kuil Hindu, kerajaan jamin hak beribadat
- Akmal Manaf

- May 14
- 2 min read

Tuduhan kononnya kerajaan sedang 'mendemonisasikan' kuil Hindu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab kerana berpotensi mencetuskan keresahan serta ketegangan antara kaum dalam negara.
Demikian bidas Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Gunaraj George (gambar) terhadap mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), P Waytha Moorthy susulan kenyataan yang didakwa cuba mewujudkan persepsi negatif serta memanipulasi realiti berhubung isu kuil Hindu.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama maka kenyataan beremosi serta berbaur hasutan tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya menimbulkan ketakutan dan perpecahan dalam masyarakat.
"Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang memimpin negara dalam keadaan ekonomi global yang mencabar dan pada masa sama terus memastikan setiap komuniti termasuk masyarakat India mendapat perhatian sewajarnya.
"PMX bukan PM untuk satu kaum sahaja. Beliau memimpin untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
"Kerajaan juga sedang mengambil tindakan untuk menangani isu kuil ini dengan terurus dan terancang dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi-agensi yang berkaitan, malah isu ini juga telah dibincangkan beberapa kali di peringkat Kabinet," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Gunaraj menegaskan, kerajaan sedang mencari penyelesaian terbaik dan pada masa sama menjaga keharmonian dan kepentingan semua pihak.
Katanya, tindakan kerajaan itu melambangkan semangat Kerajaan MADANI dan pihak tertentu tidak sepatutnya membuat kenyataan 'syok sendiri' semata-mata untuk meraih modal politik.
"Pelbagai bantuan dan inisiatif terus diberikan (kerajaan) kepada masyarakat India termasuk peruntukan RM150 juta kepada MITRA yang merupakan antara peruntukan tertinggi pernah disalurkan.
"Pelbagai program pendidikan, pembangunan belia, latihan kemahiran, bantuan sosioekonomi, pemerkasaan wanita serta sokongan kepada usahawan India terus diperkukuhkan di bawah Kerajaan MADANI.
"Kalau benar mahu membantu masyarakat India, bawalah cadangan dan penyelesaian, bukannya bermain sentimen agama serta politik ketakutan demi kepentingan tertentu," bidas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa.




Comments