Tiada tempat kenyataan menghina kaum di Malaysia - PM


Tiada pemimpin yang bertanggungjawab boleh mengeluarkan kenyataan menghina atau mengenepikan mana-mana kaum di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan masyarakat majmuknya, dan perkara itu mesti dipertahankan.
Mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kaum ketika berkempen di Negeri Sembilan, Anwar berkata semua rakyat yang setia kepada negara dan menerima Perlembagaan Persekutuan mesti diiktiraf sebagai sebahagian daripada kekuatan Malaysia biarpun masing masing berasal dari negara berlainan.
"Orang Melayu majoritinya memang berasal dari Tanah Melayu, namun ada juga yang berketurunan dari Indonesia, China dan Korea.
"Kita tidak boleh menolak mereka sebagai bukan rakyat. Masyarakat Cina, India dan kaum lain yang taat kepada negara, menerima Perlembagaan serta menjadi warganegara yang baik perlu dirangkum sebagai kekuatan Malaysia.
"Saya tidak setuju sama sekali dengan mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita," katanya dipetik Buletin TV3 selepas Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum yang setia kepada negara serta menghormati Perlembagaan wajib diraikan sebagai aset negara.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Semalam, Sanusi dalam kempennya berkata Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
"Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada Cina, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja," katanya dalam ceramah yang dihadiri lebih 300 hadirin.
Perkataan itu kemudiannya mendapat bantahan pemimpin politik dan pertubuhan yang menganggap ucapannya berbaur perkauman dan tidak wajar diucapkan oleh seorang Menteri Besar.




Comments