top of page

Tiada sekatan penggunaan MyKad bagi inisiatif BUDI95 - JPN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap penggunaan MyKad bagi menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.


Menurut JPN, penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan berhubung kenyataan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara yang berkait dengan siasatan kes penyalahgunaan MyKad.


"JPN ingin menegaskan bahawa tiada sekatan untuk rakyat menggunakan MyKad untuk menikmati subsidi di bawah inisiatif BUDI95, selagi ia dilaksana mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa. Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar, telus dan berkesan demi kesejahteraan rakyat," kata kenyataan JPN.


Jelasnya, siasatan yang dijalankan adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan empat keping MyKad oleh individu selain pemiliknya, yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.


"Merujuk Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, penggunaan atau pemegangan MyKad oleh individu selain pemilik adalah satu kesalahan," katanya.


Menurut JPN, kenyataan Ketua Pengarah sebelum ini bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi, sebaliknya menekankan kepentingan pematuhan undang-undang dalam penggunaan dokumen pengenalan diri.


Dalam masa sama, JPN mengingatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan MyKad kepada pihak lain bagi sebarang urusan termasuk pembelian bahan api bersubsidi.


"Orang ramai diseru agar menggunakan MyKad masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi sebarang urusan, termasuk berkaitan pembelian bahan api bersubsidi bagi mengelakkan implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti," katanya.


Tambah kenyataan itu, JPN akan terus memastikan MyKad kekal sebagai dokumen pengenalan diri rasmi yang selamat dan diyakini, termasuk dalam menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan seperti BUDI95.


Sementara itu, aspek penguatkuasaan berkaitan penyalahgunaan subsidi di bawah inisiatif berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan.


JPN turut menggesa semua pihak merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu bagi mengelakkan salah tafsir.


"JPN kekal komited memastikan kedaulatan dan keselamatan sistem pendaftaran negara terus terpelihara serta diyakini rakyat," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page