top of page

RM15.5 bilion dipulihkan dari ketirisan perkukuh daya tahan ekonomi – MAPIM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 50 minutes ago
  • 2 min read

Pemulihan sebanyak RM15.5 bilion hasil negara yang sebelum ini tiris disifatkan sebagai perkembangan penting dalam usaha Kerajaan MADANI memperkukuh integriti dan daya tahan ekonomi negara.


Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kejayaan memulihkan dana berkenaan melalui tindakan penguatkuasaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Ini adalah satu perkembangan penting yang membuktikan bahawa ketirisan bukan sesuatu yang tidak boleh dibendung. Ia adalah hasil daripada kelemahan sistem, penyalahgunaan kuasa dan kegagalan integriti yang kini mula diperbetulkan," katanya dalam satu kenyataan.


Namun, beliau menegaskan bahawa pencapaian itu perlu dilihat sebagai permulaan kepada reformasi lebih menyeluruh, bukan sekadar kejayaan jangka pendek.


"Setiap ringgit yang tiris adalah hak rakyat yang dinafikan. Dalam keadaan kos sara hidup meningkat, ketirisan pada skala berbilion ringgit adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan awam," katanya.


Menurut beliau, dana sebesar itu sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh subsidi bersasar, meningkatkan sekuriti makanan, menambah baik sistem kesihatan dan pendidikan serta membangunkan komuniti luar bandar termasuk Felda.


Beliau turut menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur bagi menutup ruang ketirisan secara berkesan.


"Pendigitalan sistem hasil negara secara menyeluruh perlu dipercepatkan bagi mengurangkan manipulasi dan kebocoran, selain integrasi data antara agensi," ujarnya.


Tambahnya, rakyat juga berhak mengetahui jumlah sebenar yang dipulihkan, punca ketirisan serta bagaimana dana tersebut diagihkan.


"Pemantauan bebas dan akauntabiliti institusi penting untuk memastikan tiada campur tangan politik dalam proses siasatan dan penguatkuasaan," katanya.


Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan pendekatan pencegahan berbanding hanya tindakan hukuman.


"Kerajaan perlu menutup ruang ketirisan melalui sistem kukuh dan mekanisme audit berterusan," katanya.


Menurutnya, usaha membanteras ketirisan adalah komponen penting dalam membina daya tahan ekonomi negara, khususnya dalam menghadapi cabaran global.


"Keupayaan kerajaan menyalurkan bantuan, menstabilkan harga barang dan memperkukuh sektor strategik sangat bergantung kepada kecekapan pengurusan hasil negara," jelasnya.


Sehubungan itu, MAPIM menyeru agar pembanterasan ketirisan dijadikan agenda nasional berterusan.


"Semua agensi penguatkuasaan perlu bertindak tanpa kompromi terhadap penyelewengan, manakala rakyat harus menyokong usaha integriti dan menolak budaya rasuah," katanya.


Beliau menambah, pemulihan RM15.5 bilion membuktikan perubahan boleh dicapai melalui ketegasan dan keazaman, namun kejayaan sebenar adalah apabila ketirisan dapat dihentikan secara konsisten dan sistemik.


"Malaysia memerlukan satu tata kelola yang cekap, telus dan berintegriti bagi memastikan setiap hasil negara sampai kepada rakyat yang berhak," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page