top of page

Minyak patut lebih murah: Kenapa PN tidak buat waktu rakyat sukar hadapi Covid 19?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Cadangan pembangkang untuk menggunakan hasil petroleum bagi menurunkan harga petrol dan diesel domestik dilihat tidak selari dengan realiti semasa, kata Bryan Ng Yih Miin.


Menurut Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN itu, jika benar hujah pembangkang dan penyokong Perikatan Nasional bahawa harga minyak boleh direndahkan lagi mengapakah ketika era pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (2020 - 2021) sewaktu tempoh pandemik Covid-19, harga petrol tidak diturunkan RM1.00 seliter bagi membantu rakyat berdepan kesukaran ekonomi.


Sedangkan, katanya pada April 2020, harga minyak mentah dunia jatuh ke paras paling rendah dalam sejarah moden apabila harga niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat merudum ke paras negatif pada 20 April 2020, satu kejadian luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini.


Katanya, harga minyak mentah penanda aras global, Brent crude, turut merosot ke bawah AS$20 setong pada tempoh sama. Apabila kerajaan PN pada waktu itu gagal menurunkan harga petrol RM2.05 seliter, bermakna memang pengeluaran petroleum di negara ini sedikit dan tidak mungkin harga diturunkan.


"Rakyat pula ketika itu berada dalam keadaan paling tertekan apabila dianggarkan lebih 800,000 orang kehilangan pekerjaan sepanjang 2020, manakala kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% pada Mei 2020 yang merupaan paras tertinggi dalam beberapa dekad.


Bryan Ng Yih Miin
Bryan Ng Yih Miin

"Sektor pelancongan, makanan dan minuman, peruncitan dan pembinaan hampir lumpuh sepenuhnya. Kalau ada masa yang sesuai untuk turunkan harga petrol secara drastik bagi meringankan beban rakyat (ketika itu) itulah masanya.


"Namun kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin tidak berbuat demikian apabila harga RON95 kekal.


"Wang ada, peluang ada, sebab pun ada, tapi tindakan tiada. Ini sendiri sudah menjawab segala dakwaan hipokrit mereka tentang ‘petrol murah untuk rakyat," kata beliau kepada Suara Keadilan.


Tambahnya, hujah pembangkang kedengaran menarik namun hakikatnya jauh tersasar daripada realiti semasa apabila pengeluaran minyak mentah negara telah merosot daripada sekitar 850,000 tong sehari pada 2004 kepada kira-kira 500,000 tong sehari dalam tahun-tahun kebelakangan ini.


"Petronas sendiri dalam laporan tahunan mereka sudah lama mengakui bahawa rizab minyak konvensional semakin berkurangan dan syarikat terpaksa bergantung lebih kepada eksplorasi luar pesisir dalam air dalam yang kosnya jauh lebih tinggi.


"Malaysia kini lebih banyak bergantung kepada eksport gas asli cecair (LNG). Kita adalah antara pengeksport LNG terbesar di dunia dan bukan lagi minyak mentah seperti dahulu.


"Pendapatan Petronas kepada kerajaan juga sudah berubah strukturnya. Pada zaman 1980-an dan 1990-an, dividen dan cukai Petronas menyumbang lebih 40% kepada hasil Kerajaan Persekutuan, tetapi kini angka tersebut sudah jauh berkurangan dan kerajaan terpaksa lebih bergantung kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta sumber lain," katanya.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas dakwaan pembangkang bahawa harga minyak dalam negara boleh diturunkan lebih banyak sekiranya hasil petroleum dimanfaatkan, sedangkan realitinya Malaysia kini lebih bergantung sebagai pengeksport gas asli berbanding minyak mentah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page