Titah Sultan Selangor, amanat PM perkukuh agenda perpaduan negara
- Helmi Mohd Foad

- 53 minutes ago
- 3 min read

Titah Sultan Selangor sempena Hari Raya Aidiladha merupakan satu mesej penting dalam memperkukuh perpaduan serta menolak politik kebencian di negara ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu memberi penegasan jelas bahawa agenda perpaduan Melayu bukan bertujuan memusuhi kaum lain, sebaliknya perlu dijadikan asas keharmonian masyarakat majmuk.
"Saya amat menyokong dan menjunjung kasih titah perutusan perayaan Aidiladha oleh Sultan Selangor.
"Titah baginda sangat mendalam apabila menegaskan bahawa agenda perpaduan Melayu bukanlah untuk memusuhi kaum lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sejarah kegemilangan Kerajaan Uthmaniyyah membuktikan sesebuah tamadun hanya mampu mencapai kejayaan besar apabila masyarakat berbilang bangsa hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Pada masa sama, David yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sambutan Hari Wesak di Kuala Lumpur baru baru ini pula membawa mesej jelas supaya rakyat menolak politik kebencian dan perpecahan.
Beliau memetik ucapan Anwar yang mengingatkan rakyat agar tidak membiarkan “tyranny of the minority” atau kelompok kecil yang menabur fitnah, prasangka dan naratif kebencian menentukan hala tuju negara.
"Sudah tiba masanya kumpulan majoriti yang cintakan kedamaian bangkit bersuara daripada hati nurani mereka untuk menolak segala bentuk perpecahan," katanya.
David berkata sepanjang lebih tujuh dekad kemerdekaan negara, belum pernah ada seorang Perdana Menteri yang secara konsisten membawa pendekatan politik menolak budaya fitnah, maki hamun dan permainan sentimen kaum secara terbuka seperti dilakukan Anwar ketika ini.
"Politik seharusnya menjadi medan membina negara, bukan menghancurkan perpaduan rakyat," katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan Anwar yang tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri sejak memegang jawatan pada November 2022 sebagai simbol tanggungjawab dan pengorbanan kepada negara.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, katanya kerajaan berjaya memperkenalkan pelbagai reformasi ekonomi dan agenda kebajikan rakyat termasuk usaha mengawal hutang dan liabiliti negara yang pernah mencecah RM1.5 trilion, ujarnya.
"Usaha berterusan dalam mengawal lonjakan hutang dan liabiliti negara telah berjaya memulihkan keyakinan pelabur asing.
"Kesannya, Malaysia kini menerima peningkatan pelaburan baharu yang ketara sekali gus menstabilkan semula ekonomi negara pasca-pandemik," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan MADANI juga memberi fokus kepada usaha mengurangkan ketirisan, memperbaiki tatakelola serta memperkukuhkan integriti pentadbiran negara.
Ujar beliau, kestabilan politik dan pentadbiran yang lebih berhemah terbukti mampu memberi kesan positif kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun David berkata Perdana Menteri masih terus berdepan serangan politik persepsi dan pelbagai tohmahan, namun tetap konsisten membawa naratif perpaduan, kesederhanaan dan kasih sayang sesama rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
"Sejak awal pembentukan negara di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Malaysia dibina atas dasar ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.
"Walaupun Islam adalah Agama Persekutuan, hakikat kepelbagaian kaum wajib dihormati," katanya.
Beliau berkata pembangunan negara juga tidak boleh bersandarkan teknologi dan inovasi semata-mata, sebaliknya mesti berpaksikan nilai, etika dan kasih sayang yang diajar semua agama.
Menurutnya, Malaysia mampu kekal aman selama puluhan tahun kerana rakyat memilih toleransi dan perpaduan, bukannya kebencian.
David turut menegaskan sepanjang 28 tahun perjuangan reformasi, Anwar tidak pernah mengajak rakyat membenci kaum atau agama lain.
"Fokus perjuangannya lebih tertumpu kepada keadilan sosial, membanteras rasuah, meningkatkan martabat pendidikan, mengangkat ekonomi rakyat dan membina negara yang berteraskan ihsan serta nilai kemanusiaan sejagat," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat menilai kepimpinan negara berdasarkan fakta dan hati terbuka, bukannya emosi atau fitnah media sosial.
"Adakah kita mahu kembali kepada politik lama yang menyebabkan rakyat terus tertekan, jurang kaya miskin melebar dan budaya saling membenci semakin subur?
"Atau kita mahu membina sebuah Malaysia yang lebih stabil, beradab dan dihormati dunia, sebuah negara yang mengutamakan kasih sayang, hormat-menghormati dan perpaduan sebagai asas kekuatan bangsa serta masa depan anak-anak kita," katanya lagi.




Comments