KEADILAN Kelantan istiqamah bersama kepimpinan Anwar
- Helmi Mohd Foad

- 1 hour ago
- 1 min read

KEADILAN Kelantan menegaskan kesemua 14 Ketua Cabang bersama seluruh jawatankuasanya di negeri itu kekal istiqamah dan tidak berbelah bahagi dalam memberikan taat setia serta sokongan penuh kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha KEADILAN negeri Rahim Hasan berkata, sehingga kini tidak ada mana-mana pimpinan cabang atau anggota jawatankuasa yang mengambil keputusan untuk menyertai parti Bersama pimpinan Rafizi Ramli.
"Parti tersebut bukan pilihan kami dan tidak sesekali akan menggugat kesetiaan kami kepada perjuangan KEADILAN.
"Bagi kami, perjuangan reformasi yang dibawa KEADILAN sejak sekian lama bukan perjuangan bermusim dan bukan juga perjuangan yang boleh digadai hanya kerana perbezaan pandangan politik semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahim berkata kesetiaan kepada parti dan kepimpinan merupakan asas penting dalam memperkukuhkan perjuangan demi rakyat.
"Di bawah kepimpinan Pengerusi negeri Datuk Seri Suparadi Md Nor, KEADILAN Kelantan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkemaskan jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang," jelas beliau.
Rahim menjelaskan pihaknya yakin dengan kesatuan saf kepimpinan, semangat perjuangan serta dokongan akar umbi yang terus kukuh.
"KEADILAN Kelantan akan terus mara ke hadapan dalam usaha membawa perubahan dan seterusnya merealisasikan misi menawan negeri Kelantan dengan keizinan Allah SWT," katanya.




Comments