top of page

PN dipimpin pengerusi atau dikuasai pemimpin Pas?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Tindakan Presiden Pas, Hj Hadi Awang mengkritik secara terbuka kepimpinan Bersatu baru baru ini dan tidak pula dilunakkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipersoalkan oleh pemerhati politik.


Kebanyakannya berpendapat tindakan Dr Samsuri yang berdiam diri dianggap telah kalah wibawa menghadapi presiden partinya sendiri, sedangkan beliau mempunyai kedudukan yang lebih besar sebagai pengerusi gabungan politik pembangkang.


Bagi aktivis Pakatan Harapan Terengganu, Awang Muda, tiada maknanya PN dipimpin oleh Dr Samsuri sekiranya pengaruh Hj Hadi dilihat lebih besar daripada beliau dalam gabungan.


"Mutakhir ini, rakyat semakin mula mempersoalkan siapakah sebenarnya yang menguasai Perikatan Nasional. Secara rasmi, gabungan itu dipengerusikan oleh Dr Ahmad Samsuri, namun dalam realiti politik semasa, ramai melihat hala tuju PN masih ditentukan oleh Hj Hadi Awang," kata Awang Muda.


Beliau turut mempersoalkan tindakan Presiden Pas yang mahu kerjasama dengan Bersatu dikaji semula pada ketika pimpinan tertinggi PN memilih untuk berdiam diri.


"Jika benar PN sebuah gabungan politik yang tersusun dan bergerak secara kolektif, mengapa pengerusinya tidak tampil mempertahankan kesepakatan dalaman?


"Mengapa setiap kali berlaku percanggahan antara parti komponen, suara yang lebih dominan tetap datang daripada Pas?" tanyanya.


Tambah Awang, keadaan berkenaan menimbulkan persepsi bahawa jawatan pengerusi PN yang disandang Dr Samsuri hanya bersifat simbolik, manakala kuasa sebenar berada pada kepimpinan Pas.


"Ia secara tidak langsung menguatkan persepsi bahawa PN bukan dipimpin melalui institusi gabungan yang matang, sebaliknya bergerak mengikut kehendak satu parti dominan," jelasnya.


Oleh itu, beliau mendakwa situasi tersebut memperlihatkan kewujudan “dua lapisan kuasa” dalam PN, iaitu kuasa rasmi pada penyandang jawatan tetapi kuasa sebenar yang mengawal keputusan politik terletak pada pihak lain.


Justeru, Awang menyeru agar rakyat lebih matang berfikir untuk memilih gabungan politik yang lebih jujur dan berwibawa menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 bagi mewujudkan negara yang stabil.


"Hakikatnya, rakyat mahukan politik yang stabil, matang dan berpaksikan tanggungjawab bersama, bukannya gabungan yang dilihat terus bergelut dengan perebutan pengaruh serta dominasi kuasa dalaman," kata beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page