top of page

Isu harga minyak global bukan bahan politik, mengapa kaitkan dengan kerajaan?

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Isu kenaikan harga minyak dunia tidak wajar dijadikan alat politik oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu dinilai secara objektif dengan mengambil kira faktor ekonomi global, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Kuala Kedah, Fadli Hussin.


Beliau berkata, tindakan pembangkang yang cuba membentuk persepsi negatif terhadap kerajaan dengan mengeksploitasi isu tersebut dilihat bersifat simplistik dan tidak menggambarkan realiti sebenar.


"Naratif yang dibawa cenderung bersifat simplistik dan reduksionis, apabila segala tekanan kos dikaitkan sepenuhnya dengan kelemahan pentadbiran kerajaan tanpa mengambil kira faktor struktur ekonomi global serta dinamika pasaran tenaga serantau yang turut memberi kesan signifikan," katanya dalam satu kenyataan.

Fadli Hussin
Fadli Hussin

Menurut beliau, kenaikan harga bahan api merupakan fenomena global yang turut dihadapi oleh banyak negara lain di rantau ini.


"Justeru, usaha kerajaan dalam mengurus tekanan ini perlu dinilai secara lebih objektif dan berasaskan konteks yang menyeluruh," katanya.


Fadli menjelaskan bahawa walaupun Malaysia adalah negara pengeluar minyak, sumbangannya kepada pengeluaran global adalah kecil dengan pengeluaran 500,000 tong sehari sebaliknya penggunaan domesik 900,000 tong sehari.


"Pengeluaran domestik juga tidak mencukupi untuk menampung penggunaan yang tinggi, menyebabkan negara masih bergantung kepada import minyak mentah, khususnya dari Timur Tengah," katanya.


Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan terus memainkan peranan penting dalam melindungi rakyat melalui subsidi bahan api.


"Beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah sekitar RM4 bilion sebulan, mencerminkan komitmen berterusan dalam menstabilkan harga dan mengurangkan kesan kos sara hidup," katanya.


Tambahnya, harga RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95 dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala diesel bagi kumpulan sasaran ditetapkan pada RM2.15 seliter.


"Inisiatif tambahan seperti BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi yang ditingkatkan kepada RM300 sebulan turut memperlihatkan pendekatan bersasar dalam membantu golongan terkesan," katanya.


Beliau turut mempersoalkan kegagalan pembangkang mengemukakan cadangan dasar alternatif yang komprehensif bagi menangani isu tersebut.


"Ketiadaan cadangan konkrit memperlihatkan kelemahan dari sudut perancangan dasar dan menimbulkan persoalan terhadap keupayaan mereka untuk mentadbir secara efektif," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa penilaian terhadap mana-mana pihak perlu dibuat berdasarkan kejelasan dasar, konsistensi hujah serta kebolehlaksanaan cadangan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page