top of page

Kerajaan gabungan realiti politik dunia, KEADILAN di N Sembilan pilih kestabilan

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 4 minutes ago
  • 3 min read

Landskap politik semasa yang semakin kompleks menjadikan model kerajaan perpaduan atau kerajaan gabungan sebagai keperluan di banyak negara termasuk Malaysia, kata Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Rembau merangkap Ketua Biro Antarabangsa KEADILAN Negeri Sembilan, Md Sani Md Shah (gambar).


Menurut beliau, politik moden hari ini tidak lagi mudah didominasi oleh satu parti tunggal seperti era terdahulu kerana pola sokongan rakyat semakin pelbagai sehingga memerlukan kerjasama rentas parti bagi membentuk kerajaan yang stabil.


Keadaan itu katanya bukan hanya berlaku di Malaysia, malah dapat dilihat di banyak negara lain termasuk Indonesia dan Kerala di India.


"Kita kena akui politik sekarang ini bukan di Malaysia sahaja, di peringkat antarabangsa pun sama. Di Indonesia, yang terbaru di Kerala pun, tak cukup kerusi akhirnya kena bergabung juga.


"Untuk dapat satu gabungan memerintah bersendirian seperti dahulu memang semakin sukar," kata Md Sani kepada Suara Keadilan.


Beliau berkata, realiti politik baharu itu perlu diterima secara matang oleh semua pihak termasuk akar umbi parti kerana keutamaan utama ketika ini ialah kestabilan kerajaan dan kesinambungan pentadbiran negara.


Md Sani berkata, keputusan pucuk pimpinan parti perlu dihormati terutama dalam soal membentuk kerjasama politik demi mempertahankan kestabilan dan perpaduan.


"Akhirnya dalam politik ini kita akan ikut keputusan pucuk pimpinan. Bila rujuk balik garis pimpinan parti, saya nampak memang masih ada ruang untuk mempertahankan perpaduan itu," katanya.


Beliau berkata pengalaman KEADILAN bekerjasama dengan pelbagai parti termasuk DAP, Pas, AMANAH dan UMNO menjadikan KEADILAN lebih matang dalam mengurus perbezaan serta membina persefahaman politik.


Menurutnya, model kerjasama politik bukan lagi sesuatu yang asing kerana tiada mana-mana parti mampu bergerak bersendirian untuk membentuk kerajaan yang stabil.


"Realitinya, tanpa kerjasama dan perpaduan politik, mana-mana parti pun sukar membentuk kerajaan secara bersendirian.


"Sebab itu saya melihat model kerajaan gabungan ini perlu diteliti dan difikirkan secara matang kerana ia mungkin menjadi formula politik masa depan negara," katanya.


Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan KEADILAN Negeri Sembilan kini kembali lebih kukuh selepas melalui pelbagai cabaran dan pergeseran sebelum ini.


Katanya, selepas selesai pemilihan parti semua kelompok dalam parti berjaya disatukan semula termasuk mereka yang tewas dalam pemilihan.


Beliau berkata di Negeri Sembilan secara umum dan di Rembau secara khususnya, gerakan parti kini semakin menyeluruh apabila semua pasukan digerakkan bersama tanpa meminggirkan mana-mana pihak.


"Urusan pemilihan parti kita dah tinggal ke tepi. Sekarang fokus kita adalah gerak kerja parti dan persiapan menghadapi pilihan raya.


"Di Negeri Sembilan dan Rembau ini kita dah menyatukan semua kelompok. Pihak yang kalah tidak ditinggalkan.


"Kita sentiasa maklumkan aktiviti dan gerakan parti supaya semua terus rasa bersama," katanya.


Mengulas kedudukan KEADILAN di Negeri Sembilan, Md Sani berkata parti itu kini semakin diterima rakyat dan dilihat sebagai parti utama dalam negara.


"Macam UMNO, DAP dan Pas, KEADILAN juga sudah dianggap parti tunjang dalam politik negara," katanya.


Penting dekati golongan muda


Dalam pada itu, Md Sani turut menekankan kepentingan mendekati golongan muda dengan pendekatan lebih strategik dalam memahami kehendak generasi tersebut.


Katanya, pemimpin politik perlu berada dalam kelompok anak muda dan mendengar sendiri suara mereka.


"Kita kena dengar apa yang mereka mahu, apa masalah mereka dan apa yang mereka rasa tertinggal," katanya.


Sebagai usaha mendekati anak muda, beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai pihak antaranya melalui pengupayaan platform digital “Belia 360” bagi membolehkan golongan muda menyuarakan pandangan serta masalah mereka secara terus kepada pasukan parti.


"Tujuannya supaya orang muda boleh masuk ke website itu untuk nyatakan apa kehendak mereka, apa masalah mereka, apa pandangan mereka.


"Apa yang mereka lihat sekarang ini, macam perkara yang mereka tak setuju ataupun rasa tertinggal, mereka boleh nyatakan semua itu dalam platform tersebut.


"Dan di situ ada satu tim yang boleh tengok, boleh saring semula segala pandangan dan luahan yang masuk.


"Kalau tak boleh selesaikan semua pun, sekurang-kurangnya kita ambil tahu dan cuba bantu mana yang mampu," kata Md Sani lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page