Tandus isu, jangan jadikan pembinaan hospital awam PJ kempen politik
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Isu pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya, Selangor tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana hal itu melibatkan kepentingan kesihatan rakyat.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata tindakan pihak tertentu termasuk pemimpin MCA Selangor yang mempersoalkan kelewatan projek berkenaan amatlah tidak wajar.
"Isu kesihatan rakyat tidak wajar dijadikan modal politik. Petaling Jaya sudah sekian lama memerlukan sebuah hospital awam sendiri bagi menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat, selain mengurangkan tekanan terhadap hospital awam sedia ada di kawasan sekitar seperti Klang dan Shah Alam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sementara menunggu pembinaan hospital tersebut disiapkan, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara termasuk cadangan oleh Galen Centre for Health and Social Policy untuk menyewa atau mengambil alih operasi hospital swasta bersaiz sederhana sebagai hospital awam.
Menurutnya, pendekatan itu selari dengan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Hospital Outsourcing Programme (HSOP) yang diperkenalkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sejak 2023.
"Pendekatan ini berpotensi menjadi penyelesaian praktikal sementara, selain membantu mengurangkan kesesakan di hospital awam sekitar Lembah Klang dan memudahkan akses rawatan kepada penduduk Petaling Jaya dalam mendapatkan rawatan awam pada jarak yang lebih dekat," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya cadangan pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya bukanlah perkara baharu kerana hal itu telah dirancang sejak pewartaan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 pada 2011.
Namun, ujarnya, pelaksanaan projek tersebut memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan, termasuk dari segi kelulusan, peruntukan dan perancangan teknikal juga pelaksanaan projek yang mana ketika tahun 2011, Kerajaan Persekutuan ditadbir oleh Barisan Nasional yang tidak sebulu dengan Kerajaan Negeri.
"Pada ketika cadangan ini mula dibangunkan di peringkat negeri, Kerajaan Persekutuan bukan berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Hanya selepas Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya pada tahun 2018, usaha mengenal pasti tapak yang sesuai untuk Hospital Awam Petaling Jaya dapat digerakkan dengan lebih serius.
"Malangnya, usaha tersebut terganggu apabila Kerajaan PH di peringkat Persekutuan ditumbangkan melalui pengkhianatan Langkah Sheraton. Perubahan politik itu, ditambah pula dengan krisis Covid-19 yang melanda negara, telah menyebabkan agenda penting ini tertangguh," katanya.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kos tanah yang semakin meningkat di Petaling Jaya memerlukan kerajaan membuat pertimbangan strategik dalam pemilihan lokasi dan melewatkan lagi projek berkenaan.
Bagaimanapun, Faiz turut menyatakan sokongan terhadap komitmen Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bersama Menteri Kesihatan dalam menggerakkan semula projek tersebut, termasuk menilai kawasan seperti Taman Medan sebagai lokasi berpotensi memandangkan kawasan tersebut banyak dihuni golongan B40 yang amat memerlukan rawatan hospital awam.
Manakala, ahli politik sama ada dari parti kerajaan atau pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan isu kelewatan pembinaan hospital tersebut sebagai salah satu cara mendapatkan sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 16.
"Rakyat harus menolak politik sempit seperti ini. Projek hospital awam bukan soal siapa mahu mendapat keuntungan politik. Ia soal nyawa, kesihatan dan kebajikan rakyat.
"Usaha Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan Hospital Awam Petaling Jaya dapat direalisasikan harus disokong semua pihak," tegasnya.




Comments