“Masyarakat Madani Versi Kartun” buku terbaharu Zunar
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kartunis reformasi terkenal, Zulkiflee S.M. Anwar Ulhaque atau Zunar, tampil dengan sebuah karya baharu bertajuk "Membangun Masyarakat Madani Versi Kartun" yang mengangkat konsep MADANI melalui pendekatan ilustrasi dan fakta.
Menurut beliau, penghasilan buku karya terbaharu tersebut mengambil masa hampir setahun melibatkan proses kajian, penulisan skrip serta lukisan bagi memastikan mesej yang disampaikan tepat dan berkesan.
"Madani bukan slogan politik, ia adalah kerangka nilai dan akhlak.
"Sebab itu saya mengambil inisiatif untuk menghasilkan buku ini dengan kajian fakta, menulis skrip dan melukis sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan buku setebal 114 muka surat berwarna itu mengandungi pelbagai topik penting termasuk usaha membanteras rasuah, memperkukuh tatakelola serta inisiatif pembangunan negara.
"Kandungannya termasuk iltizam melawan rasuah dengan langkah berani menyiasat golongan berpengaruh, selain bagaimana wang yang dirampas dikembalikan kepada rakyat melalui inisiatif seperti SARA, STR, bantuan pendidikan dan program untuk golongan B40," ujarnya.
Tambah beliau, buku tersebut turut merangkumi pelbagai bab seperti membanteras rasuah, melumpuhkan kartel, melawan penyeludupan, subsidi tersasar, pengurusan hutang, pelaburan serta sasaran ke arah negara maju.
Katanya, setiap muka surat dipenuhi dengan lukisan kartun yang sarat dengan fakta supaya mesej lebih mudah difahami oleh masyarakat.
Buku Membangun Masyarakat Madani Versi Kartun semalam dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Buku tersebut dijual pada harga RM20 dan Zunar akan berada di PBAKL 2026 yang berlangsung selama 10 hari hingga 7 Jun bagi mempromosikan karya terbaharunya.




Comments