top of page

Tiada parti dari 'luar Sarawak', semua bebas bertanding dalam PRN - Roland

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 23 minutes ago
  • 2 min read

Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) menegaskan semua parti politik wajar diberi ruang untuk bersaing secara sihat dalam setiap pilihanraya, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) Sarawak, selaras dengan prinsip demokrasi yang tidak menyekat penyertaan mana-mana pihak.


Beliau berkata, semua parti politik bebas berjuang dengan slogan masing-masing tanpa mengira sama ada 'Sabah First', 'Sarawak First’, 'People First' dan sebagainya.


"Pada saya, 'Justice First' yang diperjuangkan KEADILAN untuk semua rakyat Malaysia. Tiada wilayah yang dipinggirkan dan tiada wilayah yang diutamakan lebih daripada wilayah lain (adalah baik).


"Pada saya, apa yang penting ialah semua pihak mesti bersikap terbuka kerana parti politik bersifat nasional seperti KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) telah didaftar oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) sama seperti pendaftaran semua parti politik di seluruh negara.


"Sebagai parti politik nasional (KEADILAN), tiada sekatan Perlembagaan Sarawak, Undang-Undang Pertubuhan dan Perlembagaan Parti politik itu sendiri untuk aktif berjuang untuk rakyat di Sarawak, lebih-lebih lagi parti politik nasional ini juga dianggotai dan dipimpin oleh rakyat Sarawak dan menghormati autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963," katanya dalam satu kenyataan.


Roland merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg bahawa GPS tidak mahu parti dari luar mengganggu Sarawak kerana hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik di negeri berkenaan.


Mengulas lanjut, Roland menyifatkan kenyataan Abang Johari itu adalah kurang tepat dan hanya kenyataan politik tanpa asas Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.


Tegas beliau, tiada sebarang sekatan yang menghalang mana-mana rakyat Malaysia di Sarawak daripada menyertai parti KEADILAN dan aktif memperjuangkan nasib rakyat negeri itu berteraskan matlamat perjuangan parti.


"Sementara saya bersetuju bahawa hanya rakyat Sarawak benar-benar memahami budaya dan politik Sarawak, saya tidak bersetuju bahawa hanya parti tertentu seperti GPS yang benar-benar memahami budaya dan politik Sarawak tersebut.

"Saya nak timbulkan persoalan. Jika parti nasional dikatakan mengganggu Sarawak, bagaimana pula syarikat-syarikat ‘dari luar Sarawak’? Bagaimana pula pegawai-pegawai Kerajaan ‘dari luar Sarawak’?


"Bagaimana pula Sarawak boleh bekerjasama dengan ‘negara luar’ dalam bidang tertentu? Bagaimana pula universiti-universti ‘dari luar’ yang ditubuhkan di Sarawak? Bagaimana pula pekerja asing yang dibawa masuk untuk bekerja di Sarawak?" soal beliau.


Dalam pada itu, Roland menegaskan bahawa semua pihak perlu akur terhadap keputusan pilihanraya yang bersih dan adil.


Menurutnya, kerjasama antara parti boleh dipertimbangkan selepas pilihanraya demi menjamin kestabilan, sekiranya keadaan memerlukan.


Semalam, ketika berucap pada penutupan konvensyen GPS, Abang Johari yang juga Premier Sarawak antara lain menyatakan bahawa pihaknya sudah mempunyai kerjasama yang baik dengan parti nasional dalam Kerajaan Perpaduan di Persekutuan.


"Kita seperti sebuah keluarga, tetapi jangan campuri urusan keluarga Sarawak. Kita bukannya bersifat introvert, kita mengambil kira kepentingan Malaysia secara keseluruhan. Jika Sarawak maju, Malaysia turut maju. Jika ekonomi Sarawak kukuh, Malaysia juga kukuh," katanya dipetik.


GPS turut memaklumkan akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page