top of page

'Tiada drama di Kulai, Loke, Onn Hafiz utamakan kepentingan rakyat'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read
Anthony Loke, Onn Hafiz bersembang.... utamakan soal pengangkutan awam untuk rakyat. Foto: FB Chin Tong
Anthony Loke, Onn Hafiz bersembang.... utamakan soal pengangkutan awam untuk rakyat. Foto: FB Chin Tong

Pertemuan antara Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai hari ini mencuri perhatian selepas kedua-dua pemimpin itu sebelum ini terlibat dalam perang kenyataan di media sosial berkaitan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.


Walaupun hubungan politik antara kedua-duanya menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu, majlis yang berlangsung di bawah Kementerian Pengangkutan itu berjalan dalam suasana mesra dan profesional apabila kedua-dua pemimpin dilihat bersalaman serta berbual sebelum acara bermula.


Dipetik laporan media tempatan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi jaminan bahawa Kementerian itu akan terus bekerjasama secara profesional dengan Kerajaan Negeri Johor biarpun suasana politik sedang hangat menjelang PRN.


"Kita tahu kita berada dalam musim pilihanraya dan dalam keadaan luar biasa. Saya sebagai menteri dan pegawai-pegawai kementerian akan terus bersikap profesional untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta memberi sokongan kepada pembangunan di negeri ini," katanya.


Beliau turut berseloroh bahawa pengamal media yang hadir mungkin kecewa kerana mengharapkan "drama" berlaku pada pertemuan mereka.


"Hari ini saya tak mahu cakap pasal politik, tetapi soal kebajikan rakyat. Politik di pentas politik, tetapi kerja kerajaan mesti terus berjalan," katanya.


Dalam ucapannya, Onn Hafiz menegaskan bahawa amanah seorang pemimpin adalah untuk bekerja demi kepentingan rakyat tanpa mengira perbezaan politik.


"Serendah atau sebesar mana pun kedudukan kita, amanah seorang pemimpin tetap sama iaitu bekerja demi kepentingan rakyat dan memudahkan kehidupan mereka.


"Rakyat tidak menilai siapa yang paling banyak mengumumkan projek, tetapi mereka menilai siapa yang benar-benar menyampaikan hasil terbaik untuk mereka," katanya dipetik.


Beliau yang Setiausaha Agung DAP turut mengakui wujud perbezaan pandangan politik, namun menegaskan kerajaan perlu terus berfungsi demi kesejahteraan rakyat.


"Apa pun keadaan dan dalam suasana luar biasa, kita harus kekal profesional dan bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Johor," katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong turut mengulas pertemuan berkenaan menerusi hantaran di media sosial.


Beliau berkata pihaknya gembira melihat Onn Hafiz yang sebelum ini menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan DAP, hadir ke majlis tersebut dan duduk bersebelahan Loke yang juga Setiausaha Agung DAP.


"Gembira melihat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini enggan duduk semeja dengan DAP, sudi hadir sama di majlis ini dan duduk bersebelahan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang telah menjemput beliau.


"Semoga projek KTM Komuter ini memanfaatkan Bangsa Johor," katanya.


Perang kenyataan antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Onn Hafiz pada pelancaran jentera Barisan Nasional Johor awal bulan ini menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya membentuk kerajaan negeri selepas PRN akan datang, malah menyatakan beliau lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan parti berkenaan.


Kenyataan itu kemudiannya dibalas Loke yang menyifatkan pendirian berkenaan bercanggah dengan realiti kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.


Namun, pertemuan kedua-dua pemimpin di Kulai hari ini memperlihatkan bahawa perbezaan politik tidak menghalang kerjasama pentadbiran antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam menjayakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page