Oleh: Dr Gunaraj George
Tidak semua penganut Agama Hindu akan menunaikan nazar. Nazar ialah memohon sesuatu hajat kepada Dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran pada Hari Thaipusam.
Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut secara besar-besaran dan meriah di Malaysia. Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves, Selangor merupakan kuil tumpuan utama penganut Agama Hindu. Saya menyambut baik pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang meluluskan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves adalah pada 27 haribulan Januari dan akan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar pada 29 haribulan Januari, dengan mengikut syarat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Perarakan harus dipertimbangkan di negeri lain
Persoalan yang timbul adalah mengapakah MKN hanya memberi kebenaran kepada Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves sahaja? Sedangkan terdapat kuil di negeri lain yang menyambut hari Thaipusam juga. MKN harus bersikap lebih terbuka dan telus sebelum melakukan sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan awam. Tindakan ini dianggap tidak wajar dan berat sebelah kerana bukan Kuil di Batu Cave Selangor sahaja yang menyambut perayaan ini. Bagaimanakah pula hak Kuil Hindu di negeri lain?
Beberapa buah kuil lain di serata negeri di Malaysia menyambut Thaipusam seperti di Kuil Nivasagar Sarawak, Kuil Arulmigu Balathandayuthabani Pulau Pinang, Kuil Sri Muniswarar dan Kuil Sri Subramaniar di Johor serta Kuil Sri Subramaniar Gunung Cheroh Perak.
MKN perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Pas yang telah membatalkan cuti peristiwa sempena Thaipusam di negeri itu tanpa membuat sebarang perbincangan bersama pemegang taruh yang terlibat. Perkara tersebut telah mengakibatkan satu suasana yang kurang harmoni apabila beberapa pemimpin masyarakat menyatakan bantahan secara terbuka.
Anjur perbincangan
Sebagai saranan, MKN sepatutnya mengadakan perbincangan bersama “Thaipusam Task Force” yang melibatkan pemegang taruh daripada gabungan NGO Hindu Malaysia. Perbincangan khusus bersama pemegang taruh ini sangat penting bagi mendapatkan satu keputusan yang lebih holistik dan tidak berat sebelah. Saya berharap MKN melihat perkara ini dengan lebih terbuka dan bersedia untuk membuat satu keputusan yang lebih adil kepada penganut Agama Hindu. MKN perlu memberikan kelulusan kepada kuil di negeri lain bagi menyambut perayaan ini dengan mengikut SOP yang sama sepertimana kebenaran diberikan kepada Kuil di Batu Cave.
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor N48 Sentosa dan merupakan Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja
Comments