Tetapkan tarikh pilihanraya: Bubar DUN bukan atas strategi politik
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang 'dibalut' kepentingan politik sebagaimana berlaku di Johor tidak wajar diteruskan dalam kerajaan yang mengutamakan reformasi institusi.
Bagi mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar), reformasi demokrasi di Malaysia perlu dilakukan dengan menentukan tarikh pilihanraya secara tetap untuk mengelak parti politik tertentu meraih strategi politik.
Beliau berkata, dalam sebuah demokrasi moden, mandat rakyat perlu dihormati sehingga tamat tempoh penggal yang telah diberikan melalui pilihanraya.
"Sudah tiba masanya Malaysia melaksanakan reformasi demokrasi yang lebih matang dengan menetapkan tarikh pilihan raya secara tetap mengikut tempoh penggal yang ditetapkan, serta menamatkan amalan pembubaran Parlimen dan DUN berdasarkan pertimbangan politik semata-mata," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kuasa membubarkan Parlimen atau DUN sebelum cukup penggal tidak seharusnya digunakan untuk mendapatkan kelebihan atau mengeksploitasi sentimen semasa.
"Amalan sedemikian telah menyebabkan ketidakstabilan politik, mengganggu perancangan pembangunan negara dan negeri, menjejaskan keyakinan pelabur serta membebankan rakyat dengan kos pilihan raya yang tidak perlu," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar tarikh Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri ditetapkan mengikut tempoh matang penggal pentadbiran, dengan pembubaran awal hanya dibenarkan dalam keadaan luar biasa.
"Pembubaran awal hanya dibenarkan dalam keadaan luar biasa seperti kehilangan majoriti yang jelas, usul tidak percaya yang berjaya atau krisis perlembagaan yang memerlukan mandat baharu rakyat," ujarnya.
Tambah beliau, pindaan perundangan dan perlembagaan perlu dilaksanakan bagi menjamin kepastian jadual pilihan raya serta menghalang penyalahgunaan kuasa pembubaran.
Beliau turut menyeru semua pihak politik agar meletakkan kepentingan rakyat dan kestabilan negara mengatasi percaturan politik jangka pendek.
"Reformasi ini akan mengukuhkan demokrasi berparlimen, meningkatkan akauntabiliti kerajaan, mengurangkan ketidaktentuan politik dan memastikan tumpuan diberikan kepada tadbir urus yang berkesan sepanjang tempoh mandat yang diterima daripada rakyat."
Sehubungan itu, Fakhrulrazi menegaskan bahawa Malaysia memerlukan sistem politik yang stabil dan matang berasaskan prinsip demokrasi yang adil.
"Mandat rakyat bukan alat percaturan politik. Mandat rakyat mesti dihormati sehingga tamat tempohnya. Cukup tempoh, kembali kepada rakyat. Bukan dibubar sesuka hati," katanya lagi.




Comments