Teruskan usaha diplomatik bebaskan Rached Ghannouchi - Nurul Izzah
- Helmi Mohd Foad

- 4 hours ago
- 4 min read

Pemenjaraan tokoh pembaharuan politik Islam Tunisia, Sheikh Rached Ghannouchi dianggap sebagai simbol kemerosotan demokrasi global serta bukti bahawa perjuangan menegakkan keadilan perlu diteruskan tanpa mengira keadaan.
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Ghannouchi merupakan antara tokoh Islam demokratik paling penting yang memberi keyakinan bahawa Islam dan demokrasi boleh bergerak seiring.
Justeru itu, beliau berkata usaha diplomatik perlu diteruskan bagi membantu memberikan keadilan kepada pemimpin politik Islam Tunisia, Dr Sheikh Rached Ghannouchi yang kini dipenjarakan di negara tersebut.
"Apa yang saya lakukan ialah terus mengingatkan Kementerian Luar bahawa ini merupakan salah satu perjuangan yang perlu kita beri perhatian," katanya kepada Suara Keadilan selepas Forum "Keadilan Untuk Sheikh Rached Ghannnouchi" di The International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS Malaysia), Petaling Jaya malam tadi.
Terdahulu ketika berucap pada forum tersebut, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Eksekutif Polity berkata sebelum ini banyak pihak mengatakan Islam tidak boleh wujud bersama demokrasi.
Namun katanya, Rached Ghannouchi membawa pendirian bahawa nilai Islam sentiasa meraikan demokrasi dan keadilan.
Nurul Izzah berkata beliau pernah menghadiri persidangan parti Ennahda di Tunisia dan menyaksikan sendiri bagaimana Ghannouchi berjaya membina gerakan politik yang inklusif serta memberi ruang kepada wanita dalam politik dan Parlimen.
Menurut beliau, walaupun Ghannouchi pernah dipenjarakan dan ditekan selama beberapa dekad, tokoh itu tetap membawa gagasan politik yang berorientasikan masa depan dan perpaduan masyarakat.
Beliau turut memetik tindakan Ghannouchi yang melancarkan mogok lapar ketika berada dalam penjara sebagai tanda solidariti terhadap seorang profesor undang-undang berhaluan kiri.
"Bayangkan seorang tokoh berusia 84 tahun, dalam keadaan kesihatan yang rapuh, memilih untuk berlapar bukan demi dirinya sendiri tetapi demi solidariti terhadap tahanan lain," katanya.
Nurul Izzah turut mengkritik apa yang disifatkannya sebagai hipokrasi Barat dalam memperjuangkan demokrasi tetapi pada masa sama membiarkan penindasan dan kolonialisme berterusan.
Beliau berkata umat Islam juga perlu menghentikan perpecahan dalaman serta membina solidariti lebih kukuh bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
"Kita tidak boleh lagi melihat setiap perjuangan secara berasingan. Semua bentuk penindasan dan ketidakadilan hari ini sebenarnya saling berkait," katanya.
Sebelum ini, Ghannouchi dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh mahkamah Tunisia atas tuduhan berkomplot menentang keselamatan negara, sekali gus menambah beberapa hukuman lain yang telah dikenakan terhadap beliau.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menyifatkan tindakan terhadap Ghannouchi dan tokoh pembangkang lain sebagai sebahagian daripada tindakan keras politik sejak Presiden Kais Saied mengambil alih kuasa dan menggantung parlimen Tunisia pada 2021.
Rached Ghannouchi menjadi tokoh penting selepas Arab Spring pada 2011 yang menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali.
Selepas revolusi itu, Ennahda memenangi pilihanraya demokratik pertama Tunisia dan membentuk kerajaan campuran, manakala Ghannouchi kembali dari buangan politik di London untuk menjadi antara figura paling berpengaruh dalam politik negara itu.
Nurul Izzah berkata ramai ahli politik memiliki sifat narsisistik, tetapi Ghannouchi menunjukkan pemikiran jauh ke hadapan apabila gerakannya turut menilai aspek psikologi calon politik masa depan.
Beliau turut mengkritik sikap hipokrit Barat yang sering bercakap tentang demokrasi tetapi pada masa sama menyokong kolonialisme dan penindasan.
Katanya, Ghannouchi memberi keyakinan kepada ramai umat Islam bahawa nilai Islam sebenarnya sentiasa meraikan keadilan, kebebasan dan demokrasi.
Nurul Izzah juga menyeru umat Islam supaya menghentikan perpecahan seperti konflik Sunni-Syiah dan mula bersatu menghadapi cabaran global yang semakin besar.
Beliau menyatakan bahawa dunia Islam, termasuk di Asia, masih gagal membina solidariti yang cukup kuat dalam isu-isu antarabangsa.
"Perjuangan hari ini tidak boleh bergerak secara berasingan kerana semua bentuk penindasan saling berkait.
"Ancaman terhadap demokrasi, Palestin, ekonomi global dan ketidakadilan antarabangsa sebenarnya datang daripada sistem yang sama," katanya.
Dalam pada itu, bekas Menteri Luar Tunisia, Dr Rafik Abdes Salem, bekas Menteri Luar Tunisia yang turut menjadi panel forum tersebut berkata dalam tempoh sebulan lagi, Rached Ghannouchi akan berusia 85 tahun.
"Pada usia sebegini, seseorang sepatutnya berada di rumah bersama keluarga, ahli parti dan masyarakatnya. Tetapi malangnya pemerintahan diktator telah merampas kebebasannya dan pada masa sama merampas kebebasan seluruh Tunisia serta segala pencapaian yang dibina lebih sedekad sejak revolusi Tunisia," katanya.
Beliau berkata Ghannouchi bukan sekadar seorang ahli politik, malah merupakan bekas Speaker Parlimen, intelektual dan antara pelopor gerakan reformisme Islam moden sejak penghujung abad ke-20.
Menurutnya, Ghannouchi secara konsisten memperjuangkan pandangan mengenai Islam, demokrasi, hak asasi manusia, ketamadunan dan penyertaan wanita dalam masyarakat.
Beliau menjelaskan usaha intelektual Ghannouchi bukan sekadar cuba menggabungkan Islam dan demokrasi malah beliau merupakan reformis Islam seperti kerana tokoh awal pembaharuan Islam seperti Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida.
Katanya pendekatan Ghannouchi lebih kompleks kerana beliau melihat Islam dan demokrasi sebagai dua unsur yang saling berinteraksi secara dinamik.
"Bagi beliau, Islam mempunyai asas dan prinsip yang tetap tetapi pada masa sama ia agama yang dinamik dan perlu sentiasa berdialog dengan keutamaan masyarakat, kemanusiaan, kebebasan dan maruah insan," katanya.
Beliau berkata Ghannouchi juga melihat demokrasi bukan sebagai sistem yang kaku atau sempurna, sebaliknya satu bentuk tadbir urus yang fleksibel dan boleh berfungsi dalam pelbagai konteks budaya dan agama.
Menurut beliau, kesilapan besar dalam perbahasan moden ialah apabila Islam dan demokrasi dilihat seolah-olah dua ideologi yang bertentangan.
"Islam ialah agama manakala demokrasi ialah kaedah pemerintahan," katanya.
"Pendamaian antara Islam dan pemodenan sangat penting supaya umat Islam dapat hidup dalam zaman moden dengan berpandukan nilai dan prinsip Islam."




Comments