“Yang kerjasama kita sambut baik, nak lawan kita lawan bersungguh”
- Sidiqin Omar

- 18 minutes ago
- 2 min read

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan itu bersedia menghadapi mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan kerajaan, sambil menegaskan pendekatan kerjasama tetap menjadi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 hari ini, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan memilih pendekatan cermat dalam melaksanakan reformasi kerana mahu memastikan kestabilan politik dan keamanan negara terus terpelihara.
Menurut beliau, PH tidak berniat memecahkan kerjasama dalam kerajaan, malah terus mempertahankan semangat perpaduan bersama rakan gabungan termasuk negeri-negeri yang ditadbir parti lain seperti BN, GPS dan GRS.
Namun beliau menegaskan sikap berlembut dan kompromi itu tidak boleh dianggap sebagai tanda kelemahan.
"Saya nak beri mesej yang jelas pada hari ini. Kita berpuluh tahun berdasarkan kebijaksanaan kita. Walaupun kita mengambil pendekatan yang hormat, lunak dan baik, jangan salah baca dan jangan salah faham.
"Yang sedia bekerjasama kita sambut dengan baik. Yang sedia nak lawan, kita lawan dengan bersungguh-sungguh," katanya.
Anwar turut menegaskan beliau tidak gentar dengan sebarang ancaman politik dan bersedia menyerahkan mandat kepada rakyat sekiranya terdapat pihak yang mahu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"Kalau betul mereka rasa penat dengan Kerajaan Perpaduan ini, kita kembalikan kepada rakyat. Bukan sahaja di Johor dan Negeri Sembilan, seluruh negara saya bersedia," katanya.
Dalam pada itu, beliau mempertahankan pencapaian Kerajaan Perpaduan sepanjang hampir empat tahun mentadbir negara termasuk peningkatan pelaburan, pengurangan kadar pengangguran, kawalan inflasi dan pelaksanaan program bantuan rakyat.
Menurutnya, kerajaan juga berjaya mengekang budaya penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pimpinan negara.
"Saya nak tanya, kalau ada tuduhan mana-mana menteri daripada Pakatan Harapan membolot kekayaan sejak jadi menteri? Itu isu pokok reformasi kita.
"Kita benci orang gunakan kuasa untuk kumpul kekayaan. Dan ini sudah berjaya kita hentikan," katanya.
Anwar turut mengkritik beberapa pihak yang terus memainkan sentimen kaum dan agama tanpa membawa penyelesaian terhadap isu pembangunan rakyat.
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan tetap meneruskan agenda membantu Melayu dan Bumiputera secara konsisten melalui pelbagai program ekonomi, pendidikan dan pembasmian kemiskinan tanpa mengabaikan kaum lain.
"Di mana yang saya gadai kepentingan Melayu? Di mana DAP tuntut supaya kita khianat bahasa atau dasar ekonomi Melayu?" soalnya.
Beliau turut menyenaraikan pelbagai projek pembangunan besar di Johor termasuk pemulihan Forest City, projek RTS Link dan pelabuhan baharu yang menurutnya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu Anwar turut mengingatkan pimpinan dan jentera PH supaya terus mempertahankan nilai integriti, pendidikan serta akhlak dalam politik, selain berani menjawab segala fitnah dan serangan pembangkang dengan fakta.




Comments