Media kerajaan perlu agresif, sebar kejayaan dasar, impak pembangunan - PM
- Sidiqin Omar

- 24 minutes ago
- 2 min read

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menegaskan media kerajaan perlu memainkan peranan lebih agresif dalam menjelaskan fakta sebenar kepada rakyat, khususnya berkaitan kejayaan Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelbagai dasar dan projek pembangunan di seluruh negara.
Berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 hari ini, Anwar berkata banyak pencapaian kerajaan gagal sampai kepada rakyat kerana perhatian terlalu tertumpu kepada menjawab serangan politik berbanding memperjelaskan dasar dan kejayaan pentadbiran.
"Media kerajaan mesti mainkan peranan menerangkan fakta yang betul. Kalau projek itu projek Kerajaan Negeri, tulis projek Kerajaan Negeri. Kalau projek Persekutuan, nyatakan itu projek Persekutuan.
"Kita kadang-kadang sibuk menjawab serangan sampai lupa apa yang telah kita lakukan dalam tiga tahun lalu. Banyak perkara tidak dihebahkan dan tidak sampai kepada rakyat,” katanya.
Anwar turut memberi contoh pembangunan besar di Johor yang menurutnya digerakkan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
"Johor menerima projek pembangunan bernilai puluhan bilion ringgit dalam tempoh tiga tahun ini. Projek RTS, Forest City, pelabuhan baharu dan ART semuanya mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata pendekatan sama turut dilaksanakan di Sarawak menerusi pembangunan hab tenaga serta pelbagai projek infrastruktur, selain projek tebatan banjir di Kelantan yang diteruskan demi kepentingan rakyat walaupun berdepan pelbagai serangan politik.
"Saya tak sanggup melihat rakyat terus susah dan berdepan banjir setiap tahun. Politik kita boleh bertembung, tetapi soal kebajikan rakyat mesti diutamakan," katanya.
Anwar menyeru seluruh jentera kerajaan dan media supaya lebih berani mempertahankan fakta serta menjelaskan kejayaan kerajaan kepada rakyat bagi menangkis fitnah dan sentimen politik sempit.
Menurut beliau, pelbagai pencapaian kerajaan termasuk menarik pelaburan asing, membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME), mengawal inflasi serta mengurangkan kadar pengangguran seharusnya diterangkan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
"Kita lihat program-program SME, menarik pelabur, mengekang inflasi, meningkatkan peluang pekerjaan dan latihan.
"Kalau dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, banyak perubahan telah dilakukan," katanya.
Anwar berkata kerajaan juga berjaya mencatat pelaburan tertinggi dalam sejarah negara selain melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam terbesar selepas sekian lama.
"Beberapa belas tahun gaji penjawat awam tidak pernah dinaikkan pada kadar sebegini. Kita lakukan kenaikan tertinggi dalam sejarah walaupun ia bukan perkara mudah kerana melibatkan perbelanjaan besar," katanya.
Dalam masa sama, Anwar membidas dakwaan pihak tertentu yang cuba menafikan penglibatan Kerajaan Persekutuan dalam projek pembangunan di negeri-negeri tertentu.
"Ada negeri yang mendakwa semua itu projek negeri semata-mata, bukan projek Persekutuan. Kalau perkara itu terus dimainkan, saya akan bongkar semuanya dan terangkan kepada rakyat," kata Anwar.
Beliau turut menjelaskan pendekatan kerajaan berasaskan data serta keperluan semasa rakyat, bukannya dipengaruhi oleh faktor politik jangka pendek.
"Dasar kita berasaskan keperluan rakyat dan keadaan ekonomi semasa. Ia bukan dibuat secara bermusim atau untuk tujuan politik semata-mata," ujarnya lanjut.




Comments