Terpalit isu rasuah, bolehkah Pas terima Zahid sebagai PM?


Dapatkah Pas menerima Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri sedangkan parti itu sebelum ini pernah mempersoalkan kedudukan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri berikutan 47 pertuduhan berkaitan kes Yayasan Akalbudi?
Persoalan itu dibangkitkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar selepas penganalisis politik, Ong Kian Ming meramalkan Presiden Umno itu berpotensi menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau berkata perkembangan berkenaan wajar diberikan perhatian kerana ia menimbulkan persoalan sama ada Pas bersedia menerima Zahid sebagai Perdana Menteri sekiranya BN dan PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU-16.
"Dulu ketika Zahid mahu menjadi TPM, 47 pertuduhan menjadi persoalan. Kalau hari ini Zahid mahu menjadi PM, apakah 47 pertuduhan itu sudah tidak lagi menjadi persoalan?" soalnya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Kian Ming yang juga bekas Ahli Parlimen Bangi dilaporkan menjangkakan Zahid mendapat sokongan parti-parti dari Sabah dan Sarawak untuk jawatan nombor satu itu meskipun Pas mungkin memenangi lebih banyak kerusi berbanding BN.
Pada 2023, beberapa pemimpin Pas secara terbuka mengkritik keputusan memberikan DNAA kepada Zahid daripada 47 pertuduhan berkenaan.
Antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempersoalkan keputusan pendakwaan menghentikan prosiding manakala Ketua Penerangan Pas ketika itu turut menggesa agar kes berkenaan tidak digugurkan.
Mahfuz berkata sekiranya pendirian Pas berubah berhubung Zahid, parti itu perlu menjelaskan apa yang berubah manakala jika pendirian berkenaan masih sama, persoalan timbul mengenai bagaimana Pas boleh menerima beliau sebagai Perdana Menteri.
"Kalau pendirian Pas berubah, apa yang berubah? Kalau pendirian Pas tidak berubah, bagaimana mereka boleh menerima Zahid sebagai Perdana Menteri?" katanya.
Beliau menegaskan persoalan itu bukan bertujuan membuat kesimpulan bahawa Zahid bersalah sebaliknya berkaitan konsistensi prinsip yang pernah digunakan Pas dalam menilai kedudukan Presiden Umno itu.
"Saya tidak mengatakan Zahid bersalah. Mahkamah belum membuat keputusan sedemikian terhadap beliau," katanya.
Zahid sebelum ini berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2023 memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memohon agar prosiding dihentikan.
Bagaimanapun, isu berhubung keputusan tersebut masih mempunyai perkembangan di mahkamah.
Pada 7 Mei 2026, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Majlis Peguam untuk meneruskan cabaran terhadap keputusan berkaitan DNAA berkenaan, dengan panel hakim memutuskan terdapat isu yang wajar didengar melalui semakan kehakiman substantif.
Mahfuz berkata perkembangan itu menyebabkan persoalan mengenai standard yang mahu digunakan bagi jawatan Perdana Menteri perlu dibincangkan secara terbuka.
"Ini bukan soal menghukum seseorang sebelum proses kehakiman selesai. Ini soal keyakinan, integriti, ketelusan dan standard kepimpinan negara," katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya prinsip yang digunakan terhadap seseorang pemimpin tidak berubah apabila individu berkenaan menjadi rakan politik.
Menurut Mahfuz, sekiranya Pas bersedia menerima Zahid sebagai Perdana Menteri, parti itu wajar menjelaskan kepada rakyat asas pertimbangan berkenaan.
Sebaliknya, katanya jika Pas tidak bersedia menerima Zahid, persoalan turut timbul mengenai bagaimana Umno dan Pas boleh membentuk kerajaan bersama selepas PRU-16 serta menentukan calon Perdana Menteri.
"Dulu Pas bertanya. Hari ini rakyat pula bertanya semula," katanya.
Mahfuz berkata persoalan itu tidak seharusnya dilihat sebagai serangan terhadap Pas kerana ia berpunca daripada pendirian parti itu sendiri terhadap isu Zahid sebelum ini.
Beliau berkata rakyat bukan sekadar mengundi parti dalam pilihanraya sebaliknya memberikan mandat untuk membentuk kerajaan dan menentukan siapa yang akan memegang amanah tertinggi negara.
Katanya PRU-16 juga tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada slogan Melayu, Islam, perpaduan atau gelombang politik tertentu sebaliknya pengundi berhak mengetahui calon kepimpinan, prinsip, rekod dan dasar yang akan dibawa sesebuah gabungan.
"Kerusi Perdana Menteri bukan hadiah kerana menang pilihanraya. Ia amanah yang lahir daripada kepercayaan rakyat," katanya.
Mahfuz menegaskan semua gabungan politik perlu bersedia menjawab persoalan mengenai calon Perdana Menteri dan standard yang digunakan sebelum rakyat memberikan mandat pada PRU-16.




Comments