Terima RCI TH: Utamakan institusi umat Islam, bukan kepentingan politik
- Akmal Manaf

- 35 minutes ago
- 2 min read

Semua pihak yang sebelum ini mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) untuk menyiasat sama ada aset TH dijual kepada bukan Islam oleh Kerajaan Pakatan Harapan 1.0, diseru agar berani menerima segala dapatan laporan berkenaan selepas ia didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, siasatan telah dijalankan dan laporan berkenaan juga sudah didedahkan kepada orang ramai, justeru semua pihak perlu menghormati fakta dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
Beliau berkata, pihak Pas dan Umno tidak seharusnya mempertikaikan RCI hanya kerana dapatan yang diperoleh tidak menepati apa yang diharapkan.
"Kalau benar kita percaya kepada RCI, kita terima semua dapatan (dan) bukan hanya dapatan yang kita suka.

"Akhirnya, rakyat tidak perlukan lagi politik persepsi (tapi) rakyat perlukan fakta. Pendeposit Tabung Haji pula perlukan jaminan bahawa wang mereka diurus dengan amanah.
"Saya menyeru rakan-rakan Umno dan Pas agar berlapang dada menerima keseluruhan laporan RCI tersebut," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai RCI Tabung Haji yang dibentuk pada era kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didominasi Umno dan Pas, kononnya bagi membuktikan dakwaan bahawa kerajaan PH menjual aset umat Islam kepada Cina DAP pada 2019.
Mengulas lanjut, Mohammad Fitri berkata, laporan RCI itu seharusnya menjadi titik noktah kepada politik persepsi khususnya dakwaan aset umat Islam itu dijual kepada bukan Islam.
Katanya, laporan RCI sebaliknya menyiasat pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 pada era pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, dan menemui kelemahan tadbir urus, campur tangan politik serta masalah pengurusan dan pelaburan institusi tersebut.
"Justeru kalau dulu kita mendesak agar RCI diwujudkan untuk mencari kebenaran, apabila laporan sudah keluar kita juga mesti berani menerima kebenaran yang terkandung dalam laporan tersebut.
"Jangan apabila RCI dijangka boleh digunakan untuk menyerang PH, kita kata RCI mesti dihormati, tetapi apabila dapatan RCI tidak menyokong naratif politik kita, tiba-tiba kita persoalkan pula RCI itu.
"Itu bukan menghormati RCI. Itu memilih fakta mengikut kepentingan politik. Kalau ada kelemahan, kita perbaiki.
"Kalau ada kesalahan, kita ambil tindakan melalui proses undang-undang, tetapi jangan terus mengulang tuduhan yang tidak dibuktikan dalam laporan RCI," ujar beliau yang juga Ketua AMK Merbok.
Kelmarin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata laporan RCI mengenai TH sebelum ini digunakan sebagai 'manipulasi' untuk memberi gambaran agensi itu terjerumus dalam skandal kewangan.
Sehubungan itu beliau mencadangkan RCI baharu dilaksanakan terhadap pentadbiran dan pengurusan TH, bermula dari tempoh akhir RCI lama hingga tarikh terkini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 – "Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH".




Comments