top of page

Terbukti berkesan, Jualan Rahmah MADANI diperhebat - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 1 min read

Kerajaan akan mempergiat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI dengan penganjuran secara mingguan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebagai komitmen berterusan kerajaan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat susulan konflik di Asia Barat.


"Bagi 2026, kerajaan mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah, melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara dan diadakan secara mingguan dengan jadual tetap.


"Selain bandar dan pinggir bandar, program ini turut diperluaskan ke kawasan desa dan kampung terpilih, dengan keutamaan diberikan kepada penyertaan peniaga kecil dan tidak dimonopoli syarikat besar, bagi memastikan manfaat terus dinikmati rakyat serta peniaga tempatan," katanya dipetik pada Sidang Media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.


Beliau yang juga Menteri Kewangan sementara itu mengakui program kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu terbukti berkesan dalam menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.


Program diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI pada Januari 2023 ini merupakan inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang menawarkan pengurangan harga antara lima hingga 30 peratus.


Dalam pada itu, Anwar menyatakan komited untuk mencari dan melaksanakan pelbagai ikhtiar baharu pada setiap minggu untuk mengurangkan beban yang harus ditanggung rakyat.


Jelasnya, walaupun tidak semua ikhtiar berkenaan mampu menyelesaikan semua masalah, namun ia sekurang-kurangnya meringankan sedikit tekanan ditanggung rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page