Tekad lahirkan lebih ramai jurutera, saintis penuhi industri E&E


Malaysia bertekad melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, dan pereka cip tempatan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E) negara.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, industri tersebut dijangka memerlukan sehingga 60,000 jurutera tambahan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Justeru bagi merealisasikan hasrat tersebut, pembangunan bakat baharu itu perlu dipupuk dan digilap seawall peringkat sekolah lagi.
"Semikonduktor bukan sekadar tentang cip. Ia tentang bakat. Dan kita perlu mulakannya sejak di bangku sekolah
"Kalau ekosistem ini berjaya kita bina, pekerjaan bernilai tinggi dengan gaji yang lumayan akan datang kepada rakyat Malaysia," kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu dipetik laporan media.
Sementara itu jelasnya, Malaysia mengambil pendekatan daripada model pendidikan di Singapura dan Jerman yang menghubungkan pembelajaran dengan keperluan industri.
"Di Singapura, melalui Applied Learning Programme, sekolah bekerjasama dengan industri. Pelajar didedahkan sejak kecil kepada pembelajaran hands-on, macam robotik dan teknologi.
"Di Jerman, sistem Dual Vocational Training menggabungkan belajar di sekolah dengan latihan di tempat kerja sebenar," katanya.
Bagaimanapun menurut Akmal Nasrullah, Malaysia mahu bina model sendiri agar lebih sesuai dengan keperluan industri dan sistem pendidikan negara.
"Kementerian Ekonomi memperkenalkan Projek Rintis Bakat STEM menyasarkan penyertaan lebih 100,000 pelajar dari 2026 hingga 2030.
"Ia merangkumi empat program utama antaranya pendidikan STEM dan MathQuest di peringkat sekolah rendah, manakala AI on Wheels serta Technical Skill Learning bagi pelajar sekolah menengah," jelasnya.




Comments