Tarik pelabur lebih agresif, bina lebih banyak perumahan rakyat - Kumaresan
- Akmal Manaf
- 11 hours ago
- 2 min read

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dicadang agar mempertimbangkan untuk menuntut perkongsian hasil daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan sumbangan besar negeri kepada ekonomi dan eksport negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan berkata, cadangan itu bukan soal politik, tetapi tentang keadilan fiskal berdasarkan sumbangan besar Pulau Pinang kepada ekonomi negara.
Justeru beliau berkata, adalah wajar Pulau Pinang diberikan pulangan lebih adil dan setimpal agar hasil tersebut dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur, pengangkutan awam, projek tebatan banjir, bekalan air, perumahan mampu milik serta kebajikan rakyat.
"Saya juga berpandangan bahawa Kerajaan Negeri perlu bergerak dengan lebih agresif dalam menarik pelabur-pelabur baharu khususnya bagi memperkukuh pembangunan kawasan Batu Kawan sebagai hab industri dan pelaburan masa depan negeri.
"Kawasan Batu Kawan mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu.
"Oleh itu, Kerajaan Negeri perlu menyediakan ekosistem yang lebih lengkap dan kompetitif termasuk infrastruktur asas yang mencukupi, jaringan pengangkutan yang efisien, kemudahan logistik, pembangunan modal insan, serta jaminan utiliti yang stabil," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan ucapan Tuan Yang Terutama Tun sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, DUN Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Kumaresan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri perlu mempercepatkan pelan kontigensi air bagi memastikan kesiapsiagaan negeri dalam menjamin kelestarian dan keselamatan bekalan air jangka panjang.
Katanya, harus disedari bahawa perubahan iklim, fenomena cuaca panas melampau dan musim kemarau yang semakin tidak menentu memberi kesan besar terhadap sumber air negeri.
Ujarnya, jika perkara itu tidak ditangani secara strategik dan menyeluruh, beliau bimbang ia akan memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi, operasi industri dan kesejahteraan rakyat.
"Dalam aspek perumahan rakyat, saya memohon supaya lebih banyak rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik berkualiti dibina bagi membantu golongan B40, M40 dan anak muda memiliki rumah sendiri.
"Saya juga ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mempertimbangkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi kepentingan awam untuk mengambil alih Lot 20133 dan Lot 9117, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Sungai Dua.
"Tanah itu asalnya dirancang untuk pembangunan projek Rumah Mampu Milik secara usaha sama, namun tergendala akibat pertikaian bersama pemaju dan telah berlarutan lebih 20 tahun.
"Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mengambil alih tanah tersebut dan membuka Request for Proposal (RFP) kepada pihak yang benar-benar berkemampuan dan berminat untuk membangunkan projek Rumah Mampu Milik demi kepentingan rakyat," katanya lagi.
