top of page

Bahaya ceramah politik tanpa disiplin ilmu, Nik Zawawi perlu diambil tindakan - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kontroversi melibatkan Ahli Parlimen Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh sebagai bukti bahaya ceramah politik tanpa mengikut disiplin ilmu, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama.


Menurut beliau, umat Islam terkejut dengan permohonan maaf yang dibuat oleh Nik Zawawi berhubung kenyataannya terhadap para sahabat Nabi.


Mahfuz mempersoalkan perubahan pendirian pemimpin tersebut yang sebelum ini mempertahankan kenyataan isi ceramah pada Ahad lalu yang mengaitkan dakwaan 'bapa ceti dan 'kaki zina' ke atas sahabat, namun kemudiannya mengakui tiada riwayat sahih bagi menyokong dakwaan itu.


"Semalam beliau mempertahankan kenyataannya. Hari ini beliau sendiri mengaku ‘tiada riwayat’ dan kalau ada pun ‘daif’ (berkaitan peribadi para sahabat pada waktu jahiliah).


"Kalau beliau sendiri mengakui tiada riwayat sahih, mengapa tuduhan begitu berat boleh disebut di pentas ceramah?" tanyanya.


Mahfuz menegaskan bahawa dalam agama, setiap dakwaan perlu bersandarkan dalil yang sahih serta disiplin ilmu yang jelas, dan bukan dibuat secara terburu-buru sebelum diperbetulkan selepas mendapat reaksi masyarakat.


Dalam masa sama, Mahfuz menyatakan bahawa pengakuan tersebut membuktikan kritikan orang ramai terhadap kenyataan berkenaan adalah berasas, apatah lagi apabila ia melibatkan tokoh besar Islam seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab.


"Abu Bakar al-Siddiq dan Umar ibn al-Khattab bukan tokoh biasa. Mereka adalah generasi yang dipuji Allah dan Rasulullah SAW.


"Ulama muktabar sangat berhati-hati bila bercakap tentang para sahabat," katanya.


Sehubungan itu, Mahfuz mengkritik budaya ceramah politik sensasi yang dipelopori Pas yang disifatkannya terlalu mengejar populariti, dramatik dan beremosi sehingga mengabaikan ketepatan fakta serta adab dalam beragama.


"Apa yang berlaku ini memperlihatkan budaya politik yang terlalu lama dibina atas label, penghukuman, bahasa keras, dan retorik melampau.


"Akhirnya bila bercakap soal agama sekalipun fakta tidak disemak, riwayat tidak dipastikan, adab terhadap sahabat tidak dijaga," ujarnya.


Oleh itu, Mahfuz menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu berkenaan mengikut lunas undang-undang serta menjadikannya sebagai pengajaran kepada semua pihak.


"Menghina sahabat seperti menghina Nabi. Pihak berkuasa perlu ambil tindakan tegas pada Nik Zawawi mengikut lunas undang undang.


"Peristiwa ini mesti menjadi pengajaran besar kepada semua pihak. Agama tidak boleh dijadikan pentas sensasi. Ceramah politik tidak boleh mendahului disiplin ilmu, sahabat Rasulullah SAW mesti dijaga dengan penuh adab dan amanah ilmu," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page