Menteri Agama lawat mengejut projek naik taraf Masjid Wilayah
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, melakukan lawatan mengejut ke Masjid Wilayah Persekutuan hari ini bagi meninjau sendiri kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan yang sedang dilaksanakan.
Menurut beliau, lawatan tersebut dilakukan dengan memanfaatkan ruang masa di antara tugasan rasmi bagi memastikan projek yang melibatkan rumah ibadah itu berjalan mengikut perancangan.
"Ada sedikit ruang antara tugasan rasmi, saya ambil peluang buat lawatan mengejut ke Masjid Wilayah Persekutuan bagi memantau sendiri kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan yang sedang dijalankan.
"Saya dan pasukan panjat ruang atas bumbung masjid untuk lihat sendiri perkembangan kerja di lapangan. Bagi saya, soal amanah dan kualiti tak boleh dibuat sambil lewa," katanya dalam hantaran di media sosial.
Beliau menegaskan bahawa sebarang projek melibatkan rumah Allah perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, ketelitian serta pematuhan kepada spesifikasi yang ditetapkan.
"Bila melibatkan rumah Allah, kita kena serius, teliti dan tegas. Pastikan setiap projek siap ikut waktu serta memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
"Kerja bukan sekadar siap, tapi mesti siap dengan ihsan dan tanggungjawab," ujarnya lagi.
Untuk rekod, projek menaik taraf Masjid Wilayah Persekutuan sedang dilaksanakan melalui Kementerian Kerja Raya. Kerja-kerja berkaitan merangkumi penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan dan naik taraf keselamatan untuk keselesaan jemaah.




Comments