Tarif AS: 'Malaysia perlu bersedia hadapi situasi ekonomi lebih mencabar'
- Suara Keadilan

- May 2
- 3 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia harus bersiap-sedia dengan keadaan ekonomi yang lebih mencabar, dan pengumuman tarif eksport baharu diperkenalkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump pada awal April lalu merupakan ‘amaran awal’ yang perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan.
Dr Wong Chin Huat, profesor dari Pusat Jeffrey Sachs bagi Kelestarian Pembangunan, Sunway University ketika dihubungi berkata, ketidaktentuan ekonomi global ini jika tidak ditangani segera dan secara menyeluruh dikhuatiri akan menjerumuskan negara ke dalam krisis yang mungkin seteruk – atau lebih teruk – daripada wabak Covid-19.
"Kita harus bersiap-sedia bahawa ekonomi mungkin dilanda bencana seteruk kalau bukan lebih teruk daripada wabak Covid-19.
"Sementara kita cuba berunding dengan AS atas tarif, kerajaan mesti mencontohi kerajaan Jepun dalam menyediakan sokongan kewangan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi dan penggangguran, untuk semua yang terkesan daripada perniagaan, pekerja sampai pesara dan pelajar.
"Kerajaan Madani tidak harus memandang rendah kesan tarif Trump dan terus menafikan kemungkinan berlaku kemurungan. 'Daripada silap terlalu leka, biar silap terlalu terjaga'.

"Kalau kerajaan dilihat sebagai leka atau terlalu yakin, maka tidak boleh salahkan pihak lain apabila dikecam nanti kerana tidak siapsaga menghadapinya," kata Dr Wong kepada Suara Keadilan.
Ketika ditanya apakah wujud impak langsung tarif ini kepada industri tempatan, khususnya sektor terlibat dalam eksport ke AS, Dr Wong berkata sebarang pelan mitigasi perlu memerhatikan jangkaan kesan di rantau lain seperti Kesatuan Eropah (EU) dan China.
"Impak tarif Trump bukan saja setakat terhadap sektor eskport. Kemungkinan besar ia akan mengakibatkan kemurungan (depression) ekonomi sejagat.
"Sekalipun Trump telah menangguhkan perlaksanaan tarifnya selama 90 hari kecuali untuk negara China, tarif beliau tidak munasabah dan sekalipun direndahkan kepada 10 peratus sejagat tetap akan mempunyai impak terhadap perdagangan dunia.
"Sebagai contoh, tarif purata EU terhadap barangan AS cuma 1.7 peratus dan EU tidak mungkin memansuhkan cukai VAT (seperti GST) seperti yang dituntut oleh AS.
"Maka 90 hari kemudian, kalau Trump teruskan kegilaannya, EU yang sekarang juga menangguhkan tarif balasannya untuk 90 hari akan terpaksa membalas.
"Apa lagi dengan balasan tarif antara AS dan China yang sekarang mencapai 145 peratus di pihak AS ke atas China pada 9 April, dan 125 peratus di pihak China ke atas AS pada 11 April lalu," ujar Dr Wong.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 14 April berkata, Malaysia kekal untuk tidak mengenakan tarif timbal balas terhadap import dari Amerika Syarikat (AS) susulan pelaksanaan tarif dari negara itu.
Kata Tengku Zafrul, tempoh penangguhan 90 hari oleh Trump akan digunakan untuk rundingan dengan kerajaan AS, selain usaha menurunkan kadar tarif dan memperluas senarai pengecualian untuk eskport Malaysia, agar impak negatif terhadap ekonomi dapat dikurangkan.
Katanya, melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang diaktifkan, Malaysia merangka strategi hubungan dua hala dan multilateral dipacu oleh tiga keutamaan iaitu engage (libat urus); diversify (mempelbagaikan) dan reform (pembaharuan).
Imperialisme AS
Dalam pada itu Dr Wong menambah, langkah ‘perang ekonomi” yang dilancarkan pentadbiran Trump termasuk ke atas kepulauan Antartika yang tidak berpenghuni adalah manifestasi imperialisme Amerika Syarikat terhadap seluruh dunia.
Menurut Dr Wong, Trump percaya kalau Amerika Syarikat mengalami defisit perdagangan terhadap negara-negara lain, adalah kerana negara tersebut telah menipu tentang halangan tarif atau bukan tarif.
"Dalam kata lain, tanpa penipuan, Amerika sudah pasti akan dapat lebihan perdagangan. Jadi, peratusan tarif negara lain dikira dengan membahagikan defisit perdagangan AS dengan impot AS dengan sesebuah negara," katanya.
Menurut Dr Wong tarif Malaysia terhadap AS dikira sebagai 47 peratus dan separuhnya 24% sebagai tarif timbal balas, bukan sepatutnya 5.6 peratus.
Manakala untuk negara yang Amerika menikmati lebihan atau surplus perdagangan maka tarif 10 peratus tetap dikenakan.
"Kemudian, pengiraan tarif timbal balik yang harus diambil oleh AS itu juga mengambil angka yang salah. American Enterprise Institute (AEI) sebuah badan pemikir yang pro-Trump menunjukkan kalau mengambil angka yang betul, tiada sebuah negara yang akan dikenakan tarif lebih daripada 14 peratus.
"Secara kesimpulannya, tarif Trump tidak masuk akal sama sekali. Ini hasil perbuatan keputusan sesuka hati seorang ‘maharaja’ dan disokong oleh pak-pak turut di sekelilingnya.
"Ketidaktentuan (ekonomi dunia) akan berterusan sekurang-kurangnya sampai penghujung tahun 2026 apabila Amerika mengadakan pilihanraya tengah-penggal (mid-term)," ujar Dr Wong lanjut.









Comments